GUA MUSANG - Kegembiraan berkelah dan mandi sungai dua beradik bersama sepupu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang dihanyutkan oleh arus deras di Sungai Nenggiri, Kampung Pulau Setelu di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, remaja perempuan dikenali sebagai Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, sedang mandi bersama kakaknya Nur Ain, 16, serta sepupu mereka, Nur Asma Kamaruddin, 14, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu.
Beliau berkata, mangsa bersama kira-kira 20 ahli keluarga ke lokasi tersebut untuk berkelah sambil mandi di tebing sungai.
"Ketika kejadian mangsa, kakaknya serta sepupu mereka sedang mandi manakala ahli keluarga yang lain berada di tebing sungai. Tiga remaja itu kemudian dihanyutkan arus deras sebelum datuk mereka terjun ke dalam sungai untuk membantu.
"Nur Ain dan Nur Asma berjaya diselamatkan namun Nur Jannatul Alia hilang dihanyut arus deras,” katanya kepada pemberita, di lokasi kejadian pada Sabtu.
Choon Foo berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula sejak petang Jumaat dan disambung pagi Sabtu, namun hingga jam 3 petang tadi, mangsa masih belum dijumpai.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, operasi SAR melibatkan anggotanya bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung.
"Operasi SAR dilaksanakan menggunakan 10 bot milik agensi kerajaan dan penduduk kampung,” katanya. - Bernama