Maritim tahan kapal kargo disyaki lepas sisa buangan

Iklan
Sebuah kapal kargo yang didaftar di Vietnam ditahan selepas disyaki melepaskan sisa buangan di perairan negara pada Jumaat. - Foto Ihsan Maritim Perak.

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki melepaskan sisa buangan di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tersebut ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas pesawat Maritim mengesan aktiviti kapal yang mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Pesawat Bombardier CL-415 MP telah mengesan aktiviti kapal kargo yang mencurigakan itu dan maklumat disalurkan kepada Maritim Selangor kerana lokasi kejadian disyaki berada di perairan Selangor.

"Kapal tersebut dikatakan dalam perjalanan menghala ke utara dan telah memasuki perairan Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Shahrizan berkata, KM Gagah yang melakukan rondaan dikerahkan ke lokasi aduan untuk memintas dan melakukan penggeledahan secara menyeluruh ke atas kapal berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut berdaftar di Haiphong, Vietnam dalam perjalanan menuju ke Eropah.

Iklan

"Kapal itu dikendalikan 22 kru termasuk master warga Vietnam yang berusia lingkungan 30 hingga 65 tahun,” katanya.

Menurutnya, kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kapal serta semua kru ditahan di ‘South East Point’ (SEP) perairan Pulau Pangkor.

"Sampel minyak diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.