Masih adakah harapan Palestin-Israel berdamai

Iklan
Bekas Presiden AS, Barack Obama (tengah) gagal mewujudkan keamanan berkekalan antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (kanan) dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - AFP

KAHERAH - Menteri Luar Mesir, Jordan dan Palestin baru-baru ini bersetuju untuk meningkatkan usaha memulihkan proses keamanan antara Palestin dengan Israel yang telah lama terhenti.

Dalam pertemuan di Kaherah, Mesir pada Rabu lalu, ketiga-tiga pihak tersebut juga bersetuju untuk mewujudkan keadaan bagi membolehkan rundingan konstruktif diadakan antara Palestin dengan rejim Zionis bagi mencapai keamanan yang berpanjangan.

Iklan
Iklan

Keamanan yang dimaksudkan itu adalah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan menggunakan sempadan dengan Israel pada Jun 1967 serta menjadikan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Kali terakhir pelan damai dikemukakan ialah pada Januari tahun lalu apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump mendedahkan pelan perdamaian Asia Barat dengan kewujudan sebuah negara Palestin yang tidak mengandungi pasukan tentera.

Iklan

Palestin juga dicadangkan menerima sebuah wilayah berhampiran Gaza yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada padang pasir sebagai pampasan akibat kehilangan 30 peratus wilayah Tebing Barat.

Menurut portal berita The Guardian, pelan itu juga mahu Baitulmuqaddis menjadi ibu kota rejim Zionis manakala ibu negara Palestin terletak di bahagian timur serta utara Baitulmaqdis, mengiktiraf penempatan haram Yahudi, Lembah Jordan diiktiraf milik Israel dan pergerakan Hamas dibubarkan oleh Palestin.

Iklan

Sebuah penempatan haram Yahudi yang dibina di dalam wilayah Palestin di Tebing Barat. - AFP

Syarat-syarat itu kemudian tidak dapat diterima oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang bertindak memutuskan semua hubungan antara Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan AS dan Israel setelah menolak pelan damai tersebut.

Bagaimanapun, setelah AS diperintah oleh Presiden Joe Biden sejak 20 Januari lalu, beliau telah bertindak memulihkan semula hubungan antara Washington dengan Palestin selain berusaha untuk menubuhkan negara Palestin.

Sebelum ini, Israel memeterai perjanjian damai dengan Mesir selepas perjanjian Camp David ditandatangani di Rumah Putih pada tahun 1978 tetapi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan beberapa kumpulan bersenjata Palestin terus menentang rejim Zionis.

Ketika itu, terdapat kumpulan-kumpulan bersenjata Palestin enggan mengiktiraf kewujudan Israel.

Intifada pertama iaitu kebangkitan perjuangan penduduk Palestin menentang pendudukan Israel di Tebing Barat, Gaza bermula pada tahun 1987 dan kemudian berakhir dengan termeterainya Perjanjian Oslo antara PLO dengan rejim Zionis selepas Persidangan Madrid pada tahun 1991.

Perjanjian itu juga menyebabkan PA ditubuhkan dan memberikannya kuasa mentadbir di Gaza dan Tebing Barat tetapi tidak mewujudkan sebuah negara Palestin.

Namun, perjanjian itu gagal untuk menyelesaikan beberapa isu penting ketika penduduk Palestin berharap penubuhan sebuah negara Palestin serta pengunduran tentera rejim dari wilayah-wilayahnya.

Sebaliknya, bilangan peneroka haram Yahudi semakin ramai di Tebing Barat.

Ia menyebabkan Sidang Camp David diadakan pada tahun 2000 antara Presiden Israel ketika itu, Ehud Barak dengan Presiden Palestin, Allahyarham Yasser Arafat di AS ketika pemerintahan Presiden AS ke-42, Bill Clinton gagal menyelesaikan isu tersebut menyebabkan intifada kedua berlaku pada tahun 2000 hingga 2005.

Sejak itu usaha bagi mendamaikan kedua-dua pihak berlaku semasa pemerintahan Presiden AS ke-44, Barack Obama dan Trump, tetapi gagal mencapai keamanan berpanjang di Asia Barat.

Portal berita Middle East Monitor kemudian melaporkan, bekas Duta AS ke Israel, David Friedman menyatakan tiada peluang perjanjian politik dicapai antara rejim Zionis dengan Palestin.

Friedman yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Israel dalam minggu ini berkata, beliau tidak terfikir bahawa sesiapa pun akan berpendapat bahawa terdapat peluang untuk kedua-dua pihak mencapai satu perjanjian keamanan.

"Kedua-dua pihak mengalami perbezaan secara keterlaluan. Saya tidak percaya sesiapa pun akan terfikir inilah masanya untuk mendesak kedua-duanya mengadakan rundingan keamanan,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pernah bersetuju untuk menghentikan buat sementara rancangan untuk menambah penempatan haram di Tebing Barat sebagai pertukaran untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu.

Namun, pada bulan Januari lalu, Israel dilaporkan mempercepatkan tender pembinaan kediaman di Tebing Barat.

Sejak menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1949 dan terlibat dalam beberapa peperangan di Asia Barat, Israel sehingga kini masih belum dapat mencapai keamanan dengan Palestin.