Lebih 11,000 individu terima vaksin di Kelantan

Iklan
Sebahagian barisan petugas hadapan yang menerima suntikan vaksin di Kompleks Kota Darul Naim. Foto: FB Dr Izani

KOTA BHARU - Lebih 11,000 individu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan membabitkan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan petugas barisan hadapan.

Berdasarkan perkongsian data di Facebook Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, sehingga Khamis sebanyak 11,680 individu di negeri ini sudah disuntik.

Iklan
Iklan

Kemudiannya diikuti Kuala Lumpur berjumlah 11,266 penerima, manakala di Pahang 10,599 individu sudah disuntik.

Dr Izani berkata, Kelantan mencatatkan jumlah bilangan individu tertinggi yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di semenanjung Malaysia.

Iklan

Menurutnya, ia merupakan hasil kecekapan petugas Jabatan Kesihatan yang melakukan suntikan.

Dr Zaini (dua dari kiri) menyantuni barisan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Kota Darul Naim. Foto: FB Dr Izani

"Tahniah dan terima kasih kepada semua petugas kesihatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan atas kecekapan dan bertungkus-lumus menjayakan sesi vaksinasi ini," katanya menerusi Facebook rasminya pada Sabtu.

Iklan

Pada Selasa lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengetuai penerimaan suntikan sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Ahmad antara 42 individu yang terawal menerima suntikan berkenaan termasuk 14 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

Di Kelantan, seramai 21,645 petugas barisan hadapan akan menerima vaksin fasa pertama sehingga akhir April depan.

Dalam pada itu, Dr Izani turut menyarankan supaya masyarakat membuat pendaftaran suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera bagi menjayakan program imunisasi di negara ini.

Untuk rekod, pada Sabtu terdapat 35 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Kelantan yang membabitkan 27 kes tempatan dan lapan kes penjara.