Meninggal dunia dalam bot ketika memancing

Iklan
Anggota penguat kuasa Bot Kilat membantu menguruskan mangsa yang meninggal dunia di dalam bot ketika keluar memancing berhampiran Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Seorang tekong bot pancing meninggal dunia di dalam bot ketika keluar memancing bersama rakannya berhampiran Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa, Borhan Muhamed, 61, sebelum itu dikatakan pengsan semasa hendak memotong jaring yang tersangkut pada baling-baling enjin bot.

Iklan
Iklan

"Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 malam daripada rakan mangsa memaklumkan mangsa telah pengsan dalam bot.

"Rakan mangsa memohon bantuan kerana tidak mahir mengemudi enjin bot tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Nurul Hizam berkata, Bot Kilat 12 digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan sementara menunggu bantuan ambulans dan pegawai perubatan.

"Setibanya di lokasi kejadian, anggota penguat kuasa Bot Kilat membawa mangsa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai perubatan.

Iklan

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.05 malam. Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru untuk tindakan lanjut," katanya.