KOTA BHARU – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya mempersiapkan usahawan dengan ilmu dan kemahiran yang relevan melalui dua program iaitu Bumiputera Business Coaching (IBBC) Homestay dan Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ilmu keusahawanan dan kemahiran perniagaan yang diberi melalui kaedah bimbingan selama empat bulan bermula September hingga Disember 2020 itu telah membantu seramai 55 usahawan meningkatkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1.56 juta.
"Program ‘handholding’ seperti IBBC dan BBEP ini dilengkapi dengan latihan dan bimbingan secara holistik serta dipantau bagi memastikan skala kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang.
"Oleh itu, kita menyeru supaya usahawan terus menuntut ilmu keusahawanan agar dapat memajukan perniagaan serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Junaidi sebelum itu hadir merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7 2020 di sini.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, IBBC dan BBEP telah berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan apabila sebanyak 50 peratus daripada peserta IBBC Homestay serta 52 peratus daripada peserta BBEP Kohort 7 tahun 2020 dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan masing-masing antara 20 dan lebih 100 peratus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, peserta program IBBC dan BBEP sangat komited ketika mengikuti program, sekali gus menjadikan faktor utama kepada kejayaan peningkatan hasil jualan mereka.
"Hasilnya, usahawan bukan sahaja dapat melonjakkan perniagaan mereka, malah masih kekal bertahan dan dapat meneruskan operasi perniagaan seperti biasa,” katanya.
Untuk rekod, IBBC dan BBEP 2020 merupakan program pembangunan usahawan bagi meningkatkan skala perniagaan mengikut industri berkaitan.
Ia bertujuan memberikan panduan kepada usahawan tempatan untuk mengembang dan melonjakkan prestasi perniagaan.
Selain itu, usahawan juga dapat mempelajari dan menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan berkesan.
Program IBBC dan BBEP masih diteruskan sehingga kini dan tahun 2021 merupakan tahun kelima ia dianjurkan.
Maklumat lanjut mengenai program-program IBBC dan BBEP serta pendaftaran program lain boleh diperolehi melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my.
-end-