TELUK INTAN - Dua remaja lelaki termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan ketika sedang berlumba sambil melakukan aksi berbahaya di Jalan Labu Kubong di sini pada Sabtu.
Remaja yang masing-masing berusia 18 dan 16 tahun itu ditahan sepasukan polis ketika menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan berkenaan pada jam 6.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja terbabit menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan laju.
"Mereka melakukan aksi seperti menunggang dengan menundukkan badan, melakukan aksi zig-zag selain mengangkat tayar hadapan (wheelie).
"Ketika ditahan mereka memberi alasan keluar untuk berjumpa dengan rakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, aksi yang dilakukan remaja terbabit boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
"Remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Dalam operasi yang dijalankan selama tiga jam itu, polis telah memeriksa 20 motosikal dan 14 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya mengubahsuai kenderaan, tiada cermin sisi dan tiada lesen memandu,” katanya.