GUA MUSANG - Remaja perempuan yang dihanyut arus deras Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu di sini sejak petang Jumaat ditemukan lemas pada jam 9 pagi Ahad kira-kira 15 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
Mayat, Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Bertam, ditemukan penduduk kampung terapung di tepi sungai itu ketika mereka menjalankan pencarian menggunakan bot persendirian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap walaupun badannya bengkak selepas 40 jam hilang.
Beliau berkata, penduduk yang menemukan mayat mangsa terus memaklumkan kepada polis sebelum meminta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membawa mayat mangsa naik ke darat.
Pada kejadian 4 petang Jumaat lepas, 20 sekeluarga termasuk mangsa berkelah di Sungai Nenggiri tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu.
Mangsa, Nur Jannatul Alia turun mandi ke sungai itu bersama kakaknya Nur Ain Mohd Zamri, 16, dan seorang sepupu mereka Nur Asma Kamaruddin, 14, sebelum dihanyutkan arus deras.
Nur Ain dan Nur Asma sempat diselamatkan datuk mereka yang berada berhampiran selepas terdengar minta tolong, tetapi Nur Jannatul Alia tidak sempat diselamatkan sebelum hilang dibawa arus.
Choon Foo berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang bagi bedah siasat sebelum membenarkan keluarga mangsa menuntut jenazah itu untuk dikebumikan petang Ahad. - Bernama