Sektor pelancongan, hotel di Perak kembali bernafas

Iklan
Nolee Ashilin (dua dari kanan) sempena perasmian sambutan ulang tahun Jubli Intan Zoo Taiping & Night Safari di Taiping pada Ahad.

TAIPING - Sektor pelancongan domestik dan perhotelan di Perak kembali pulih selepas rentas daerah dibenarkan kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, meskipun tidak membabitkan rentas negeri, kelonggaran itu sudah memberi kelegaan kepada pemain industri yang sebelum ini terjejas teruk dan mengalami sifar pendapatan.

Iklan
Iklan

"Pengumuman baharu kerajaan ini sangat membantu sektor pelancongan khususnya di Perak yang kita tahu memang tertutup habis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila rentas daerah dibuka, kita tengok sekarang ini di bandar Ipoh dan zoo sudah mula dikunjungi orang ramai. Jumlahnya begitu memberangsangkan.

Iklan

"Ini memberi makna orang ramai sedar bahawa produk pelancongan sudah dibuka semula, sudah tentu ia dapat memulihkan kembali sektor pelancongan kita," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan ulang tahun Jubli Intan Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir; Pegawai Daerah dan Tanah Larut Matang Selama, Mohamed Akmal Dahalan dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Iklan
Nolee Ashilin bersama Khairul Amir menerima replika cek RM20,000 di bawah program anak angkat Zoo Taiping & Night Safari di Taiping.

Nolee Ashilin bagaimanapun mengingatkan semua pemain industri pelancongan agar meletakkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai keutamaan ketika beroperasi.

"Langkah ini penting kerana kita tidak mahu ada laporan-laporan kluster baharu yang datangnya daripada produk pelancongan kita sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.28 juta untuk pembangunan Zoo Taiping & Night Safari.

Katanya, peruntukan yang diperoleh tahun lalu sebahagiannya digunakan bagi kerja menaik taraf kurungan harimau dan singa serta membina pameran baharu burung enggang dan reptilia.

"Kerja-kerja ini akan dimulakan tahun ini. Ia masih dalam peringkat tender.

"Kita harap dengan penambahbaikan ini akan membantu melonjakkan semula zoo sebagai ikon pelancongan di Perak terutama apabila rentas negeri dibuka kembali," katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Jubli Intan (1961-2021) ini, Zoo Taiping & Night Safari menawarkan tiket masuk percuma untuk pengunjung berusia 60 tahun pada tahun ini.

Tawaran itu bermula pada 7 Mac hingga 31 Disember 2021.