KAJANG - Sepasang suami isteri maut, manakala dua anak mereka cedera apabila terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah pasar raya di Lebuhraya Cheras-Kajang di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang.
"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah van dan sebuah kereta Perodua Bezza," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, terdapat empat individu di dalam kereta iaitu sepasang suami isteri serta dua anak mereka berusia tujuh dan 14 tahun," katanya.
Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat membantu mengeluarkan suami isteri berkenaan yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
"Mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat, manakala dua anak mereka yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. Pemandu van itu tidak cedera," katanya.