ALOR SETAR - Tindakan UMNO mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan kurang bijak dan terlalu gopoh.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tidak dinyatakan keperluan atau tujuan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 19 Februari lalu.
Menurutnya, surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari itu mengejutkan banyak pihak serta mengelirukan.
"MKT UMNO tidak menyatakan secara spesifik atau jumlah undian yang diperoleh. Contohnya bagaimana keputusan mesyuarat MKT UMNO pada 19 Februari itu dijalankan.
"Malah, langsung tiada perincian asas keputusan itu dicapai. Contohnya aspek politik dan syarak sehingga menyebabkan MKT membuat keputusan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Kamarul Zaman berpandangan, keputusan tersebut sepatutnya ditangguhkan dahulu sebelum keputusan muktamad mengenainya dicapai oleh perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac ini.
"Ia sepatutnya ditangguhkan sehingga keputusan sama dibuat Majlis Tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
"Agak menghairankan kerana pendirian itu diumumkan terlalu awal. Sepatutnya ditangguhkan sehingga benar-benar terbukti Bersatu gagal memenuhi kehendak UMNO khususnya rundingan agihan kerusi PRU15,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu kelak memberikan persepsi kalangan masyarakat bahawa UMNO anti penyatuan Melayu.