LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot yang didapati melanggar syarat sah lesen kira-kira 1.4 batu nautika Barat Pulau Mentagor di sini pada Sabtu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot yang dikendalikan tiga nelayan warga Myanmar itu dikesan menangkap ikan di kawasan Zon A kira-kira jam 11.40 malam.
Iklan
Iklan
"Bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam perairan negara oleh KM Tugau semasa rondaan Ops Benteng.
"Hasil pemeriksaan mendapati, tiga kru termasuk tekong berusia antara 20 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu di sini untuk tindakan selanjutnya.
"Kesemua nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang dari lima batu nautika dan menggajikan pekerja warga negara asing.
"Selain itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.