GEORGETOWN - DAP mengesahkan tiada kerjasama politik antara parti itu denganUMNO buat masa ini termasuk untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagaimanapun mengakui parti itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan UMNO sekiranya ia melibatkan kepentingan rakyat.
Sebagai contoh, katanya, DAP bersetuju dengan UMNO yang mahu sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan isu berkaitan Covid-19.
"Kita (DAP) tidak mempunyai masalah atau halangan untuk bekerjasama dengan UMNO jika ia melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya atas dasar kepentingan parti.
"Contohnya, DAP bersetuju dengan UMNO yang mahukan persidangan Parlimen diadakan. Selain itu, kita juga berpendirian sama dengan UMNO dalam konflik di Myanmar dan Palestin," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.
Guan Eng mengulas mengenai khabar angin mengatakan DAP mungkin akan mengadakan kerjasama politik dengan UMNO khususnya menjelang PRU15.
Ura-ura itu tercetus selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum berkenaan.
Sebelum itu, UMNO menyatakan kebersamaan parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu.