JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mayat wanita yang meninggal dunia dipercayai ditembak suaminya di Taman Saujana, Kota Tinggi pada 1 Mac lalu masih belum dituntut waris.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad berkata, keluarga mangsa mahu supaya pengesahan ujian penuh asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan terhadap mayat wanita itu.
"Jenazah masih belum dituntut dan masih berada di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
"Sampel DNA keluarga mangsa sudah diambil pada Ahad. Laporan penuh akan dikeluarkan namun mengambil ia memakan masa," katanya ketika dihubungi SInar Harian pada Isnin.
Pada Khamis, mayat wanita berumur 38 tahun itu ditemui dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar di sini.
Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi sejak 1 Mac lalu.
Lebih menyayat hati, ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu dipercayai ditembak mati ketika sedang tidur oleh suaminya berusia 43 tahun dengan menggunakan senapang angin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembunuhan tersebut bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka.
Katanya, susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun ditahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Angkara cemburu, suami tembak mati isteri
Kes bunuh isteri: Terdapat kesan lebam pada mayat mangsa
Bunuh isteri: Polis masih siasat motif cemburu