KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri akan memberikan penghargaan khas kepada enam individu yang bertarung nyawa menyelamatkan lima mangsa pacuan empat roda yang terjunam ke sungai di Pulau Warisan, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesemua mereka akan diraikan sempena Himpunan Belia & Beliawanis Terengganu Hebat pada 22 Februari ini di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, selain diberikan sijil penghargaan ‘Wira Darul Iman’, Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31; Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd, 37; Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Shahrul Mizan Harun, 34, akan turut menerima insentif kewangan.
"Dalam mesyuarat Exco, kita telah bersetuju untuk memberikan anugerah ‘Wira Darul Iman’ kepada 6 individu berkenaan. Bagi Allahyarham Abdul Bari, kita akan berikan insentif kewangan yang lebih kepada keluarganya, mengenangkan jasa beliau.
"Kita harapkan penghargaan ini dengan sendirinya akan menjadi satu contoh dan dorongan kepada orang ramai untuk membantu masyarakat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.