KUALA LUMPUR -"Nasib baik tak 'berkari' kepala aku”, kata seorang mangsa sampah terbang di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Besi pada Ahad.
Azman Bidin, 47, berkata, dia dan isteri baru sahaja selesai menghantar makanan pada jam 2 petang sebelum mendengar bunyi dentuman objek daripada cermin belakang kereta.
"Isteri baru sahaja masuk kereta dan terdengar satu bunyi yang kuat macam ada objek yang jatuh.
"Rupa-rupanya, satu plastik kari yang dicampak oleh tetangga di flat PPR tersebut.
"Mujur kami tidak menaiki motosikal ketika itu, kalau kami naik motosikal, habis kepala kami,” katanya ketika dihubungi Sinar harian pada Isnin.
Rata-rata netizen turut memberi komen mengecam perbuatan yang tidak bermoral tersebut di Facebook milik mangsa.
Pengguna Facebook bernama, Muhammad Muhammad menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai pengotor.
"Nasib baik kuah kari, jangan basikal yang dicampaknya,” kata Roszaimi Abd Kadir.
Azman berpendapat masyarakat sebegini perlu diberikan tindakan dengan memberi hukuman yang tinggi kepada pelaku.