SEPANG -"Memang terkejut tengok bumbung terangkat di depan mata sebelum ia terjatuh hingga menyebabkan siling di bilik anak saya runtuh," kata penduduk, Muhammad Firdaus Mohd Othman, 28, yang merupakan antara 120 mangsa terjejas akibat ribut di Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Sabtu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, bumbung rumah didiaminya rosak teruk diterbangkan angin ribut.
"Ketika kejadian, saya berada di luar kerana ada urusan. Ketika hujan lebat dan angin ribut itu, jiran hubungi beritahu motosikal saya yang diletakkan di tingkat bawah tumbang disebabkan angin kuat.
"Sekembalinya di rumah, saya terkejut tengok siling bilik anak dah runtuh, bumbung terangkat dan ia jatuh kembali," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia tidak dapat berfikir apa-apa dan hanya menyelamatkan dokumen penting ke tempat selamat.
"Masa itu angin terlalu kuat, saya dah tak boleh fikir apa-apa.
"Buat masa ini saya tumpang barang di rumah jiran dahulu dan tinggal di rumah ibu untuk keselamatan keluarga," katanya.
Penduduk Apartment Dahlia Court, Nur Farah Izzati Mohd Khir, 28, pula berkata, kejadian berlaku ketika dia sekeluarga dalam perjalanan ke rumah ibu mentuanya di Banting.
Katanya, dia terpaksa berpatah balik selepas berasa tidak sedap hati.
"Hanya kira-kira 5 minit lepas keluar dari rumah, jiran hubungi beritahu angin kuat tapi tak sangka ribut kuat sampai macam itu sekali.
"Bila dah dekat nak sampai rumah, jiran hubungi lagi sekali beritahu atap rumah sudah melayang sampai ke tingkat bawah pangsapuri.
"Sebaik masuk rumah, saya tengok bumbung bilik dah begini (melopong). Disebabkan rasa tak selamat untuk duduk rumah ini kami bawa keluar barang-barang penting dan tidur di rumah ibu mentua.
"Ahad pagi bila saya pulang balik ke rumah untuk tengok keadaan, saya terkejut tengok siling di bahagian ruang tamu pun jatuh," katanya.
Katanya, dia tidak dapat membayangkan jika insiden berlaku ketika anaknya berada di dalam rumah.
"Alhamdulillah, pagi itu tergerak nak pulang ke rumah mak mentua, tak sangka kejadian berlaku bila saya dah keluar rumah.
"Saya tak boleh bayangkan kalau anak saya ada di situ dengan keadaan angin terlalu kuat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Afiq Abdullah, 36, berkata, kebanyakan rumah terjejas adalah di tingkat paling atas pangsapuri tersebut.
Menurutnya, penghuni di tingkat bawah pula mengadu pintu gelangsar (sliding) mereka pecah akibat tekanan angin yang kuat.
"Tekanan angin kuat menyebabkan atap genting melayang hingga struktur siling rumah di tingkat paling atas runtuh.
" Ada rumah yang turut mengalami keretakan selepas siling runtuh," katanya.