JOHOR BAHRU - Sungai Kim Kim yang didakwa dicemari ‘tompokan hitam’ sejak kebelakangan ini, didapati sudah tidak lagi berbau dan kembali ke paras julat normal hari ini, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
Pengarahnya, Dr Famey Yusoff berkata, daripada sampel air yang diambil bagi mengukur kualiti air sungai berkenaan, didapati bacaan parameter Oksigen Terlarut (DO) adalah dalam lingkungan 3.5 - 3.8 mg/l dan nilai pH pula lingkungan 8.2 iaitu julat normal.
"Seramai 15 anggota penguat kuasa JAS diketuai saya telah ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim Pasir Gudang pada jam 10.30 pagi tadi untuk melakukan siasatan kes aduan pencemaran sungai berwarna hitam yang diterima lewat petang semalam (Ahad).
"Penerbangan dron juga telah dijalankan untuk mengenal pasti punca pencemaran air sungai dan kita dapati air sungai tidak berbau dan kelihatan normal. Bagaimanapun punca air hitam masih tidak dapat dikenal pasti seperti yang didakwa oleh penduduk," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sehubungan itu, Famey mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti sungai dan udara atau tindakan tegas akan diambil.
Beliau turut menyeru orang awam agar memberikan kerjasama dengan menyalurkan aduan atau maklumat kepada JAS jika berlaku sebarang pencemaran supaya siasatan dapat dilakukan dengan segera sebelum bukti pencemaran hilang di lokasi kejadian.
Sementara itu, tinjauan di sungai berkenaan mendapati tidak kelihatan tompokan hitam di situ.
Pada Ahad genap ulang tahun kedua tragedi pencemaran Sungai Kim Kim yang menjejaskan ribuan pelajar sekolah serta masyarakat sekitar Pasir Gudang.
Seorang penduduk Kampung Bukit Pulai Pasir Gudang, yang hanya mahu dikenali sebagai Satria, mendakwa dia dapat menghidu bau busuk seperti yang dialaminya dua tahun lalu ketika hujan turun petang Ahad.
"Bau kuat kira-kira jam 3 atau 4 petang masa hujan. Sebelum ini, tiada bau kuat macam ni. Kita sudah buat laporan pada JAS dan mereka ada datang pagi tadi. Hari ini, Alhamdulillah, tiada bau.
"Saya rasa ada orang buang sisa semasa waktu hujan. Mereka simpan dulu sebab sudah lama tidak hujan di sini," katanya ketika ditemui di sini.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai berkata JAS telah diarahkan untuk menyiasat ‘tompokan air hitam’ yang didakwa mencemari Sungai Kim Kim. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: KASA siasat tompokan hitam di Sungai Kim Kim