PELUMBA Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo mencatatkan masa terpantas pada hari kedua ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Losail, Qatar semalam.
Kenyataan MotoGP menyatakan, pelumba berusia 21 tahun dari Perancis itu adalah pelumba pertama dan satu-satunya yang mencatatkan satu minit 53.94 saat (s) bagi satu pusingan.
Pelumba Ducati, Jack Miller mencatatkan masa kedua terpantas, ketinggalan 0.077s di belakang Quartararo dan diikuti Aleiz Esparagaro dari Aprilia Gresini (+0.212s) pada litar sepanjang 5.380km.
Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli adalah pelumba pasukan satelit terpantas dan keempat terpantas keseluruhan mencatatkan masa 1:54.153 (+0.213s) selepas memperbaiki catatan masanya berbanding sesi pertama.
"Kami menggunakan beberapa elemen baharu yang kami perlu cuba, ada yang saya suka dan ia sesuatu yang bagus untuk kita dapat mencubanya dan menggunakannya pada motosikal saya.
"Melihat kepada ujian tiga hari ini, kami akan terus berusaha untuk memperbaiki pakej keseluruhan dan memfokuskan kepada prestasi perlumbaan, memahami beberapa perkara sebelum dua perlumbaan GP di sini," menurut kenyataan pasukan itu hari ini.
Seorang lagi pelumba SRT dan legenda perlumbaan motosikal dunia, Valentino Rossi yang telah menyertai pasukan satelit itu buat kali pertama, menamatkan ujian di tempat ke-20 selepas mencatatkan 1:55.708s.
"Hari ini bukanlah yang terbaik, apabila saya mendapati kadar cengkaman bukanlah yang diperlukan, jadi ia tidak bagus. Kami mencuba beberapa perkara, tetapi kami bergelut dengan cengkaman dan pecutan apabila keluar daripada selekoh.
"Namun kami bekerja sepanjang hari, dan kami mencuba penalaan yang baharu. Kami akan periksa data bagi membantu kami mencari penalaan yang lebih baik pada ujian pada Rabu," kata juara tujuh kali MotoGP Dunia itu. - Bernama