‘Biar sikit janji berkat’

Iklan
Rafidah (kanan) ketika ditemubual semasa program bual bicara, Mak Untuk Malaysia (MUM) sempena Kempen Rasuah. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Tokoh politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz meluahkan rasa terkilan dan sedih apabila masyarakat hari ini menganggap rasuah sebagai satu budaya dalam kehidupan mereka.

Menurut beliau, perbuatan mengambil duit rakyat juga seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan ahli politik.

Iklan
Iklan

"Suasana sekarang sudah berubah, mengambil duit rakyat ini perkara biasa. Umpama buka peti ais untuk minum air.

"Budaya (rasuah) sudah jadi landasan yang bagi saya betul-betul merosakkan masa depan. Anak cucu tengok tok nenek mereka rumah, kereta besar, tak pernah kerja tapi banyak duit.

Iklan

"Tapi kalau kita tak rasuah, kalau masa kerja kita betul dan duit itu halal, anak-anak juga tahu. Usaha sebaik mungkin, rezeki berkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Mak Untuk Malaysia (MUM) sempena kempen rasuah yang disiarkan dari Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Iklan

Program itu menampilkan bekas penyampai berita televisyen, Dang Suria Zainuddin sebagai moderator.

Tegas Rafidah, masyarakat turut menganggap individu yang memegang jawatan juga terlibat dengan jenayah tersebut.

"Dulu-dulu memang ada korupsi. Ramai juga ahli politik masuk jel kerana semua orang pandang dan anggap benda ini (rasuah) tidak betul, termasuklah orang yang mentadbir (negara). Maka mereka ini (perasuah) disingkirkan.

"Tapi hari ini, yang tadbir pun sama-sama buat. Jadi siapa hendak susun atur (banteras) gejala ini. Malah pandangan rakyat sendiri seolah-olah orang yang pegang jawatan itu korupsi.

"Sebenarnya ramai lagi ahli politik yang baik tetapi dicemarkan oleh orang tertentu, yang naik turun mahkamah dan sebagainya. Ibarat nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Ini yang jadi masalah kepada semua,” jelasnya.

Sukar basmi rasuah sepenuhnya

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengakui agak mustahil rasuah dapat dibasmi sepenuhnya.

"Zaman dulu ada juga rasuah tapi caranya lain. Mungkin sebab tak ada projek, tak ada rakyat dikuasai ahli politik. Dulu berlaku rasuah sebab hendak dapatkan tanah di kampung dan ia dibuat untuk kepentingan diri sendiri.

"Zaman Tun (Dr Mahathir) dulu memang tegas larang semua ahli Kabinet terima hamper.

"Saya bantah, tapi takkan saya nak bersikap kurang ajar, pulangkan semua hamper yang hanya barangan makanan.

"Kalau betul nak rasuah, ajak main golf, bertaruh RM10,000 dan kalahkan diri sendiri sebab nak bagi menteri menang. Itu rasuah sebenarnya. Tetapi semuanya terpulang kepada prinsip masing-masing,” katanya.

Rafidah (kanan) ketika ditemubual Dang Suria semasa program bual bicara, Mak Untuk Malaysia (MUM) sempena Kempen Rasuah di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Rafidah berkata, beliau sangat menyokong usaha Sinar Harian memerangi gejala rasuah dengan melaksanakan kempen #RasuahBusters.

"Rasuah ini biasanya urusan di belakang tabir. Caranya juga macam-macam, guna yayasan dan banyak lagi.

"Budaya ini sudah meresap dalam masyarakat sebab itu saya sambut baik usaha ini. Memang mustahil nak ‘bersihkan’ semuanya tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membasmi rasuah agar tidak menjadi semakin parah,” kata beliau.

Tegas Rafidah, gejala rasuah tidak akan wujud andainya masyarakat terutama anak-anak menghormati setiap ajaran dan tegahan yang diajari ibu mereka sejak kecil.

Ini kerana katanya, ibu diibaratkan sebagai undang-undang dan peraturan yang perlu dihormati setiap individu.

Ujar beliau, ajaran dan didikan seorang ibu akan menjadi garis panduan dalam kehidupan setiap insan.

"Tafsiran emak itu luas, dialah peraturan dan undang-undang. Mak jugalah budaya. Kalau kita hormatinya, bila mak kata jangan, kena ikut sebab undang-undang kata jangan, peraturan kata jangan dan budaya kata jangan.

"Kita perlu hormati, patuhi. Jangan kita langgar. Kalau kita ingat semua pesan mak, insya-ALLAH, rasuah dapat dibanteras,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, sejak kecil beliau sentiasa diajar tentang erti bersyukur dan keberkatan dalam hidup.

"Saya sentiasa ingat dan ikut setiap apa yang mak kata atau pesan. Hidup biar berkat, sikit tak apa janji berkat, kalau banyak lagi bersyukur.

"Kalau belajar di sekolah jangan menipu atau meniru. Kena buat betul-betul dan jujur pada diri sendiri. Kalau di sekolah bila jumpa duit lima sen, jangan ambil sebab itu mungkin duit tiket bas atau belanja makan kawan-kawan.

"Jadi kena bagi duit itu kepada cikgu dan dia akan buat pengumuman siapa yang kehilangan duit. Itu yang diajar dan berkatnya sampai ke hari ini,” katanya.

Kata bekas Ketua Wanita UMNO itu lagi, didikan melalui teladan yang dipamerkan ibu bapa juga perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

"Mak, ayah perlu tunjukkan teladan yang baik. Kalau anak-anak tengok cara kita setiap hari, mereka akan ikut. Jadi saya rasa tak payahlah kita ajar macam cikgu atau ustazah.

"Dulu saya belajar daripada ayah saya, jangan cemar negara kita. Sebab itu saya marah bila ada orang cemar negara kita. Tapi sekarang yang cemar bukan penjajah, tapi rakyat sendiri.

"Maka usaha-usaha seperti ini perlu ada dalam keluarga. Ibu bapa perlu tunjuk contoh agar apa yang anak kita lihat, mereka boleh ikut tanpa kita ajar. Mereka tengok nilai yang kita pegang,” katanya.

Ajar anak bencikan rasuah

Dalam pada itu, beliau yang dikenali dengan gelaran ‘Iron Lady Malaysia’ berkata, gejala rasuah juga dapat diperangi melalui pendidikan.

"Kalau tidak diajar anak-anak sekarang, maka susah untuk pecahkan rasuah. Di sekolah kena ada pendidikan ini, bukan untuk peperiksaan, hanya untuk ajar jangan menipu dan mencuri, sebaliknya berlaku jujur.

"Kalau diajar dari awal, insya-ALLAH, kalau tak semua tetapi 90 peratus anak-anak ini bila besar nanti tidak akan terima apa-apa berbentuk rasuah, tak akan terlibat dengan aktiviti memberi atau menerima rasuah.

"Bagi saya kalau nak hapuskan rasuah (sepenuhnya) umpama mimpi di siang hari. Tapi ini usaha untuk mengurangkan supaya pada masa depan, rasuah ini jijik bagi semua dan bukan jadi budaya sampai negara mendapat malu,” katanya.

Ujarnya lagi, sekiranya tidak dibendung dari awal, ‘titik hitam’ ini akan menular dalam seluruh sistem masyarakat.

"Yang saya risau anak-anak di sekolah kerana mereka hidup lebih mewah (daripada generasi dahulu) dan ini akan jadi satu punca (terlibat) rasuah.

"Saya risau setiap hari dalam surat khabar ada sahaja laporan mengenai rasuah, risau sebab ada yang akan anggap Malaysia seperti sudah tiada orang yang jujur, padahal masih ramai lagi,” katanya.