MINGGU lalu, ramai kawan Merak Jalanan berteriak seronok apabila duit i-Sinar yang mereka mohon telah diluluskan. Jadi orang kaya sekejap.
Memanglah seronok, apa tidaknya bukan setakat RM1,000 atau RM2,000, tapi RM5,000 malahan ada seorang kawan berjaya dapat sampai RM15,000!
Ia bergantung kepada jumlah wang simpanan yang ada dalam akaun satu.
Bila dapat duit sebanyak itu, kita tentunya sudah ada perancangan masing-masing. Maklumlah, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kenalah berjimat cermat. Wang yang dikeluarkan sepatutnya digunakan dengan berhemah dan lebih penting ke jalan yang betul.
Merak jalanan terkejut apabila mendapat tahu ada yang menggunakan duit i-Sinar untuk tujuan lain.
Alasannya, apa salah guna duit sendiri. Maklum duit banyak dalam tangan.
Sebelum ini, ada yang sudah rancang kalau dapat duit i-Sinar, mereka mahu guna untuk hal-hal penting. Misalnya, beli keperluan sekolah untuk anak-anak seperti pakaian seragam dan bayar hutang pinjaman peribadi.
Ada yang sudah fikir untuk ubah suai dapur; ada yang mahu beli gelang emas dan perabot baharu.
Kerajaan harap duit i-Sinar yang diberikan kepada rakyat benar-benar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Tetapi rupa-rupanya dalam kegawatan ekonomi ketika ini, masih ada yang tidak tahu berfikir dengan bijak.
Ada yang kata i-Sinar itu memang duit mereka sendiri, jadi suka hatilah mereka nak beli apa.
Memang benar, tetapi perancangan masa depan perlu difikirkan juga. Kalau umur panjang, boleh hidup sampai 80 hingga 90 tahun. Ketika itulah baru tahu betapa pentingnya wang untuk saraan hari tua.
Kita perlu ada duit simpanan untuk hari tua. Duit i-Sinar bukanlah dibelanjakan sesuka hati, gunakanlah untuk keperluan yang terdesak.