PADA 11 Mac ini bermulalah kompaun sehingga RM10,000 terhadap individu yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan Pejabat Peguam Negara baru-baru ini.
Kompaun sebanyak RM50,000 turut akan dikenakan bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama.
Menurut laporan, penguatkuasaan itu sudah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Kompaun yang asalnya RM1,000 dinaikkan kepada RM10,000 sememangnya mengejutkan. Biarpun ia belum dikuatkuasakan, banyak pihak berpendapat jumlah kompaun yang ditetapkan amat tinggi dan tidak munasabah.
Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan, kompaun RM10,000 itu hanya dikenakan terhadap individu yang degil melakukan kesalahan berulang.
Selain itu, kompaun RM10,000 turut dikenakan ke atas individu yang melakukan kesalahan melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.
Dalam usaha memerangi penularan Covid-19 ini, kita bersetuju usaha kerajaan bagi mengenakan kompaun yang tinggi terhadap sesiapa yang masih degil dan enggan menurut arahan.
Bagaimanapun, jumlah kompaun yang amat tinggi itu tentunya tidak dapat mengelak daripada mencetuskan kontroversi dan pelbagai masalah.Bagi pesalah yang menerima kompaun itu, ia sudah tentunya membebankan, lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang masih dihimpit masalah ekonomi ketika ini.Biarpun kompaun yang tinggi dikatakan boleh memberi kesan agar tidak melakukan kesalahan berulang, namun jumlahnya yang ditetapkan perlulah munasabah.
Adalah dicadangkan bagi mengenakan tindakan terhadap pesalah berulang, pihak berkuasa boleh menetapkan jumlah kompaun maksimum sehingga RM5,000.
Hukuman lebih berat terhadap pesalah berulang mesti turut dikenakan terhadap pemimpin politik. Rakyat ingin melihat semua orang, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, perlu tertakluk di bawah undang-undang.