KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan siasatan isu 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin fasa pertama di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari lalu di negeri ini hampir selesai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, setakat ini tujuh orang saksi telah dipanggil dan direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.
"Kita telah hubungi suspek utama kes ini yang berada di Putrajaya dan sedang menunggu tarikh bagi tujuan merakam percakapan.
"Insya-ALLAH semua ini akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
28 Februari lalu tular di Twitter yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi 'laluan' kepada 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan.
Bagaimanapun, pada 6 Mac lalu, kerajaan Kelantan tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan 200 kakitangan kerajaan negeri cuba memotong giliran sebagai penerima awal suntikan vaksin.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Taufiq Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.