KUALA KANGSAR - Seramai lima tukang kebun dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun, bulan lalu.
Kesemua tertuduh berusia 19 hingga 59 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Zul Haikal Rashidi, 19, didakwa atas dua pertuduhan merogol mangsa antara jam 11.10 malam sehingga 11.25 malam dan 4.45 petang di sebuah rumah di Kampung Simpang Perak, Air Panas, Pengkalan Hulu pada 6 dan 7 Februari lalu.
Tertuduh lain, Muhammad Safaran Nurhan Suhaimi, 19; Muhamad Fakhrul Nakimi Hussein, 29 dan Muhammad Saifullah Md Senapi, 21, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan merogol mangsa di alamat sama antara 12.30 pagi hingga 5 petang pada 7 Februari lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Razaimi Md Nor, 49, didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap mangsa di alamat sama antara jam 9 malam hingga 5 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat serta Seksyen 15(a)(i) akta sama yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Penganggur, Noordin Mat Ramli, 59, pula didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) akta sama bagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa pada jam 11.10 malam pada 6 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala semua tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.
Rohaida kemudian membenarkan tertuduh, Muhammad Zul Haikal dan Razaimi diikat jamin sebanyak RM8,000 manakala empat tertuduh lain sebanyak RM7,000 masing-masing dengan dua penjamin.
Beliau turut mengenakan syarat tambahan kesemua tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 19 April depan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dirogol empat lelaki termasuk seorang yang baru dikenali di aplikasi WhatsApp di sebuah rumah di Pengkalan Hulu.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang masih bersekolah keluar dari rumahnya secara diam-diam untuk bertemu kenalannya yang berusia 18 tahun itu pada jam 7.50 malam sebelum diperkosa.
ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dirogol empat lelaki selepas berkenalan di WhatsApp