FOMCA bangga dengan semangat wanita

Iklan
Nur Asyikin

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memuji dan berbangga dengan semangat pengguna wanita yang bersama-sama bangkit untuk meningkatkan ekonomi keluarga pada saat genting akibat Covid-19.

Timbalan Setiausaha Agung FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin berkata, Covid-19 dilihat tidak berupaya mematahkan semangat wanita dalam membantu mengukuhkan kewangan keluarga sepanjang krisis ekonomi ini.

Iklan
Iklan

"Pelbagai kisah realiti yang dipaparkan di media sosial mengenai ramai wanita yang sanggup membantu suami mereka terutamanya menceburi bidang perniagaan khususnya ketika suami kehilangan pekerjaan.

"Golongan ibu tunggal juga gigih mencari rezeki siang dan malam untuk anak-anak tercinta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Nur Asyikin berkata, oleh itu, wajarlah wanita diraikan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun dan pada tahun ini Malaysia memilih tema 'Wanita Bangkit Mendepani Cabaran'.

"Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melahirkan wanita yang berjaya dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Nicol Ann David, Noor Neelofa Mohd Nor, Tan Sri Michelle Yeoh dan Dr. Nur Amalina Che Bakri.

Iklan

"Perkara ini jelas menunjukkan wanita juga mampu berjaya dan bergerak seiring dengan lelaki,” katanya.

Beliau berkata, pada fasa pemulihan Covid-19, FOMCA berharap banyak peluang pekerjaan dibuka untuk wanita dan mendapat hak yang saksama dalam pelbagai bidang pekerjaan.

"Lebih ramai wanita diberi peluang untuk melibatkan diri dalam penggubalan akta dan undang-undang negara supaya setiap idea dan pandangan mereka dapat diambil kira daripada setiap aspek,” katanya.

Beliau berkata, wanita mempunyai peranan mereka yang tersendiri dalam keluarga, masyarakat dan negara.

"Malah dalam banyak keadaan, golongan ini lebih teliti dan dinamik dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya.