PUTRAJAYA - Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) antaranya akan membantu usaha memulihkan imej negara dalam aspek pengurusan pekerja asing, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang berperanan penting memulihkan imej negara dari segi pengurusan pekerja asing seperti isu pekerja tidak menerima layanan yang adil telah mengambil inisiatif menguatkuasakan Akta 446 sebagai satu prasyarat sebelum majikan dapat membawa masuk pekerja asing.
Saravanan berkata, kemasukan pekerja asing tidak akan diluluskan jika majikan tidak dapat meyakinkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kemudahan yang disediakan bersesuaian dengan jumlah pekerja yang dimohon.
"Beri kami beberapa tahun, kami memberi jaminan Malaysia akan menjadi salah satu negara terbaik untuk membuktikan kepada seluruh dunia bahawa kita tahu bagaimana mengurus pekerja dan sistem," katanya kepada media selepas majlis sambutan 365 hari pencapaian Menteri Sumber Manusia di sini pada Selasa.
Selain itu, katanya, JTK akan mengeluarkan kerangka kerja khas dalam masa terdekat bagi pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) kepada pemaju dalam memenuhi spesifikasi dan piawaian selaras dengan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa 26 Februari lepas.
"Kerangka itu meliputi penambahbaikan pengurusan perumahan dan penginapan, persekitaran yang kondusif untuk memastikan pekerja asing dilayan seperti manusia," katanya.
Mengenai pencapaian KSM selama setahun, Saravanan berkata, sebanyak 2.7 juta warga kerja dapat dikekalkan selain 300,000 majikan dan industri dapat bertahan ketika negara dan dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.
Menyentuh mengenai hala tuju 2021, beliau berkata, antara fokus KSM adalah untuk peningkatan keupayaan institusi latihan, cadangan mewujudkan Pusat Sumber Manusia Negara, peningkatan aspek perlindungan sosial dan peningkatan penyelaras bagi usaha upskilling dan reskilling (meningkatkan kemahiran pekerjaan dan pengajaran semula kemahiran. - Bernama