Tiga unit kondominium jadi pusat sindiket judi online

Iklan
Adzli memeriksa operasi pusat panggilan sindiket judi atas talian dalam serbuan di tiga unit kondominium pada Selasa.

SUNGAI PETANI - Pusat panggilan operasi sindiket perjudian atas talian yang menyasarkan taruhan bulanan kira-kira RM20 juta berselindung di sebalik tiga unit kondominium di sini diserbu kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.

Kesemua individu yang disyaki terlibat antaranya 20 warga tempatan termasuk tiga wanita selain didalangi tiga warga China ditempatkan di kondominium dengan dikawal ketat pengawal keselamatan itu ditahan bagi siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga unit kondominium yang dijadikan pusat panggilan operasi itu terletak di tingkat dua dan empat menempatkan kesemua pekerja yang ditawarkan gaji sebanyak RM3,000 sebulan dengan diberi makan dan penginapan percuma tanpa dibenarkan keluar daripada premis itu.

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di tiga unit kondominium yang disyaki dijadikan pusat panggilan sindiket judi atas talian di sini pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua mereka ditetapkan sasaran minimum RM1 juta nilai taruhan yang perlu diperoleh setiap seorang dalam tempoh sebulan berdasarkan kecekapan dan kemampuan masing-masing selain diberikan ganjaran sekiranya sasaran dicapai.

Iklan

"Tangkapan membabitkan pekerja berusia antara 17 hingga 40-an, yang ditempatkan di situ sejak dua minggu lalu bagi memulakan operasi, selain pengurus, penyewa serta penghantar makanan yang diupah turut ditahan," katanya.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas 13 buah komputer riba, 245 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 unit modem yang dipercayai digunakan sindiket terbabit.

Iklan

Katanya, pusat itu beroperasi 24 jam, tanpa waktu bekerja terhad dengan syarat memenuhi sasaran pencapaian yang ditetapkan selain tidak dibenarkan keluar dari premis terbabit.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi menggunakan aplikasi WeChat, yang menyasarkan pelanggan dari China.

Menurut Adzli, kondominium terbabit hanya boleh diakses penghuni yang mempunyai kad pelepasan bagi tujuan keluar masuk dan dikawal ketat pengawal keselamatan yang disewa dengan harga RM3,000 seunit.

Beliau berkata, siasatan mengenai dokumen perjalanan serta maklumat terperinci berhubung kesemua individu terlibat akan dirujuk kepada agensi berkaitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.