Perkukuh perpaduan ummah untuk kuasai politik negara

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Tidak wajar untuk mana-mana pihak cuba memecahkan perpaduan ummah yang disepakati bawah Perikatan Nasional (PN) membabitkan tiga parti Melayu, iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukan sekadar kerjasama politik, sebaliknya untuk perpaduan umat Islam dan Melayu yang memerlukan kesatuan kukuh untuk menguasai politik negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perpecahan hanya akan merugikan semua pihak terutama umat Islam dan ia tidak boleh dibiarkan berterusan.

"Semua pihak dalam gabungan itu harus cari di mana manfaat untuk kekal bergabung, buat apa nak cari rugi. Namun harus diingat, bukan mencari keuntungan kepada diri sendiri tetapi umat Islam keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Iklan

Muhammad Sanusi turut menyifatkan pihak yang cuba menggugat kesatuan dan perpaduan ummah sebagai ejen perpecahan dan perbalahan.

"Ejen perpecahan dan perbalahan adalah kerja syaitan, itu sifat semula jadi syaitan. Siapa nak buat kerja syaitan silalah. Ejen perpaduan dan penyatuan adalah kerja kita semua,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sehubungan itu, usaha memupuk ke arah perpaduan tidak seharusnya melibatkan tiga parti berkenaan sahaja, sebaliknya semua umat Islam dan Melayu termasuk pihak yang cintakan perpaduan.

"Siapa pun perlu berusaha jayakan perpaduan termasuk NGO, bukan menjayakan perpecahan itu. Semua patut sertai perikatan, tak kisahlah PN atau Muafakat Nasional (MN).

"Tiada siapa cakap perpecahan untungkan mana-mana pihak, kecuali untuk lepas geram atau balas dendam,” katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mahu ‘muafakat politik’ yang termeterai di bawah Perikatan Nasional (PN) antara Bersatu, Pas dan UMNO diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi masa depan negara.

Beliau turut menasihati pemimpin ketiga-tiga parti itu untuk terus mendukung kerajaan sedia ada, sekali gus memberi fokus kepada isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik Covid-19 selain kurangkan politik dalaman yang mengganggu tumpuan.

Artikel Berkaitan: Teruskan muafakat Bersatu, Pas, UMNO selepas PRU15