Belum ada ketetapan haram jualan Android Box

Iklan
Eddin Syazlee Shith - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan mengharamkan penjualan kotak TV Android atau Android box tidak sah yang boleh diperoleh di pasaran negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dilakukan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Iklan
Iklan

Ini kerana Android box, aplikasi yang memberi akses penstriman kandungan kepada pengguna, melibatkan penggunaan Akta Hak Cipta yang berada di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

"Kedua-dua pihak sedang melakukan kajian terperinci dengan menumpukan kepada beberapa perkara terutamanya kesan kandungan kepada pengguna.

Iklan

"Kami harap kajian dapat diselesaikan tahun ini juga dan sehingga itu, tiada ketetapan untuk menyekat atau mengharamkan penjualannya," katanya mengulas sama ada Malaysia akan mengikut langkah Singapura yang menyekat akses dan penjualan Android Box di negara itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2019 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Ali Mohamad Nor.

Iklan

Kerajaan Singapura dilaporkan bercadang meminda Akta Hak Cipta bagi mengharamkan penjualan Android box yang memberi pengguna akses penstriman kandungan dari sumber yang tidak dibenarkan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Singapura pada November tahun lepas yang mengarahkan penyedia perkhidmatan internet di negara itu untuk menyekat akses ke aplikasi Android box.

Berbanding Singapura, pembelian Android Box adalah tidak menyalahi undang-undang selagi peranti itu tidak digunakan untuk penstriman kandungan yang dipelihara di bawah Akta Hak Cipta tanpa membayar yuran langganan untuk kandungan tersebut.

Buat masa ini, penyedia perkhidmatan sedemikian yang sah di Malaysia ialah Internet Protocol Television (IPTV) seperti Astro dan HyppTV.

Mengenai Hari Keselamatan Internet, Eddin Syazlee berkata, sambutan selama sebulan bertemakan ‘Kesejahteraan Siber’ itu memfokuskan kepada aspek kesihatan digital dan etika digital dengan tumpuan diberikan kepada golongan remaja.

Beliau berkata berdasarkan kajian, 35 peratus pengguna dalam kalangan remaja berumur lingkungan 15 hingga 30 tahun mengalami ketagihan internet dengan purata tujuh jam sehari diperuntukkan untuk melayari internet.

"Sebab itu, kami akan adakan kempen yang diterajui CyberSecurity Malaysia untuk menyedarkan golongan remaja mengenai etika penggunaan internet kerana selain masalah etika, penggunaan yang tidak terkawal juga boleh memberi kesan kepada kesihatan generasi pewaris negara itu," katanya.

Sementara itu, Ali yang diminta mengulas status kajian SKMM terhadap cadangan menghalang gergasi telekomunikasi China, Huawei daripada membangunkan infrastruktur rangkaian 5G di negara ini, berkata kementerian tidak akan mengambil sebarang keputusan sehingga laporan akhir diterima.

Beliau berkata kementerian mengambil pendekatan berkecuali dan tidak akan terpengaruh dengan tindakan barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada yang menyekat Huawei daripada membangunkan kemudahan rangkaian 5G dengan dakwaan ia pengintipan siber.

"Kementerian tidak akan membuat sebarang keputusan selagi kajian tersebut masih berjalan dan kita kena ingat, kebanyakan telco yang menyediakan perkhidmatan broadband dan unifi 80 peratus daripadanya menggunakan teknologi Huawei," katanya. - Bernama