Pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke PKPP dibenarkan bersyarat

Iklan
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai esok (Rabu).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Iklan
Iklan

"Ia juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan. Pelancongan dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Selasa.

Selain itu katanya, pergerakan kenderaan dari agensi pelancongan itu juga, perlu mendapat kebenaran dari pihak polis.

Iklan

Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintasi negeri tersebut.

Selain itu, lokasi penginapan dan premis pelancongan juga perlu mendapat kelulusan dari MOTAC.

Iklan

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi sebagai zon PKPP mulai esok walaupun negeri Kedah masih di bawah PKPB.

"Ini kerana tiada pertambahan kes Covid-19 di kawasan itu dan ia telah bertukar kepada zon hijau.

"Kes Covid-19 terakhir dilaporkan pada 20 Feb lalu dengan dua kes. Maka, Gelembung Pelancongan Bersasar juga terpakai untuk Pulau Langkawi,” katanya.

Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut mengenai SOP keputusan terbaharu tersebut boleh merujuk MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Bernama