Kerajaan pertimbang beri sijil pengecualian individu tidak dapat terima vaksin

Iklan
Khairy Jamaluddin (kanan) melihat jururawat PPUM memberi suntikan vaksin kepada kakitangan PPUM semasa membuat lawatan di bilik suntikan Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA - Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan sijil pengecualian bagi individu yang tidak dapat menerima vaksin Covid-19 disebabkan ‘immunocompromised’ atau alahan serius.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian sijil tersebut adalah bagi menggantikan sijil vaksin digital yang akan diberikan kepada semua penerima vaksin dos kedua kelak.

Iklan
Iklan

"Atas prinsip keadilan bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin, kita sedang fikir bagaimana kita boleh beri satu sijil pengecualian yang mereka ini tidak dapat diberi vaksin dan bukan kerana mereka memilih untuk tidak diberikan vaksin. Saya rasa kita perlu bersikap adil,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada Selasa.

Menurut Khairy, kerajaan masih memperhalusi isu pasport vaksin dan memberikan sijil digital vaksin melalui aplikasi MySejahtera kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Iklan

Beliau berkata, melalui sistem berkenaan, ia akan memberikan maklumat kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) serta negara lain supaya dapat pengiktirafan dan boleh digunakan sebagai bukti bahawa rakyat Malaysia telah mendapatkan vaksinasi.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan sedang merangka strategi bagi golongan gelandangan, pelarian dan migran tanpa dokumen untuk terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Iklan

Katanya, satu mesyuarat akan diadakan bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu ini bagi membincangkan kaedah terbaik untuk golongan terbabit.

"Mungkin saya juga akan ada mesyuarat koordinasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk golongan gelandangan,” katanya.

Mengenai perkembangan vaksin Sinovac, Khairy berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan ujian stabiliti terhadap vaksin keluaran China itu yang dijangka mengambil tempoh sebulan.

"Kita hendak melihat tiada kecacatan kepada vaksin apabila dibotolkan di sini. Sekiranya persetujuan diberikan, kita dapat mengeluarkan vaksin pada bulan depan,” katanya.

Malaysia menerima vaksin Covid-19 keluaran Sinovac dalam bentuk cecair untuk dibotolkan di negara ini pada 27 Februari lepas.

Mengulas mengenai vaksin palsu yang dijual dalam talian, Khairy meminta semua pihak untuk melaporkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, satu iklan palsu jualan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech secara dalam talian tular di media sosial baru-baru ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada vaksin Covid-19 Pfizer’dijual di platform Shopee