Rondaan maritim laut, udara tiga negara dilaksanakan

Iklan

TAWAU - Operasi Rondaan Maritim di perairan Laut Sulu membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina dipertingkatkan lagi dengan julung kalinya rondaan laut serta udara dilakukan serentak di bawah Aturan Kerjasama Trilateral, hari ini.

Pengarah Pusat Kawalan Maritim (MCC), Kapten (TLDM) P Pulendren berkata, rondaan serentak itu akan dilaksanakan setiap bulan secara bergilir-gilir antara tiga negara bagi memastikan perairan Laut Sulu terkawal dan dipantau daripada sebarang aktiviti yang mampu menggugat keselamatan komuniti maritim.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini secara langsung meningkatkan kerjasama keselamatan antara ketiga-tiga negara.

"Usaha ini juga antara pendekatan bagi mengekalkan keselamatan di perairan Laut Sulu serta mengekang sebarang aktiviti keganasan termasuk rompakan di laut dan penculikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iklan

Pulendren berkata, operasi rondaan maritim di Laut Sulu hari ini melibatkan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Gaya bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP Anastacio Cacayorin serta pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN235.

Turut serta dalam rondaan udara ialah pegawai pemerhati dari Angkatan Tentera Malaysia serta Indonesia dan Filipina.

Iklan

Sementara itu, Pulendren menyifatkan operasi bersama antara TLDM dan TLF sejak Oktober 2017, membuka ruang untuk kedua-dua negara memperkasakan keselamatan di laut dengan cara melaksanakan latihan serta pengoperasian bersama dan perkongsian maklumat risikan di perairan Laut Sulu. - Bernama