SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin mengakui terkilan dan marah dengan kenyataan Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin yang disifatkan sebagai ‘batu api’.
Menurutnya, Shahrul Nasrun digesa melakukan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau yang mempersoalkan kenapa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dijemput bersama dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi.
"Pagi petang, siang malam, setiap hari, kita bincang dan usahakan untuk perkasakan Perpaduan Ummah. Tiba-tiba ada Exco Pergerakan Pemuda UMNO jadi batu api. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
"Kita minta permohonan maaf secara terbuka,” katanya melalui siaran di Facebook miliknya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, perkara itu telah disampaikan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Ujarnya, sekiranya permasalahan tersebut tidak dapat diselesaikan, beliau akan pergi ke Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Baru-baru ini, Shahrul Nasrun menerusi hantaran di Facebooknya mengulas pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri tetapi tidak dijemput untuk bersama dalam lawatan rasmi Muhyiddin ke Arab Saudi.
"Setahu saya negara Arab Saudi adalah negara Timur Tengah belum lagi menjadi negara Timur Tepi,” katanya.
Bagaimanapun, Sinar Harian mendapati hantaran tersebut telahpun dipadamkan.