Pasangan bakal pengantin bungkus dadah di hotel bajet dicekup

Iklan
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH - Sepasang bakal pengantin dicekup polis dalam serbuan dadah di sebuah hotel bajet di Masjid Tanah, di sini pada Selasa.

Serbuan jam 1.15 pagi itu dilakukan hasil maklumat orang awam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pemeriksaan di dalam hotel menemui dadah disyaki heroin seberat 16.24 gram dan 7.91 gram syabu di dalam sebuah beg kecil yang disembunyikan di lubang saluran air di lantai bilik air hotel.

Menurutnya, kesemua dadah itu dipercayai dibuang ke dalam lubang saluran air di lantai apabila lelaki berusia 21 tahun itu menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Iklan

"Siasatan awal mendapati suspek dan teman wanitanya berusia 18 tahun menjadikan hotel berkenaan sebagai tempat untuk membungkus dadah sebelum dijual di kawasan sekitar.

"Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis syabu manakala teman wanitanya negatif," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, pasangan yang didakwa akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi itu turut mempunyai tujuh rekod membabitkan dadah.

"Polis juga sedang memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah reman ke atas pasangan kekasih itu hari ini (Selasa)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki syabu, Seksyen 39B akta sama kerana memiliki heroin dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.