Lebih 30 tahun tinggal rumah usang hampir runtuh

Iklan
Rokiah berada di hadapan rumah usang yang didiami bersama 11 penghuni sejak 30 tahun lalu di Kampung Padang Bemban. - Foto Bernama

BACHOK - Melihat sebuah rumah usang yang keadaannya hampir runtuh, siapa sangka di dalamnya terdapat 11 penghuni yang menumpang berteduh di situ lebih 30 tahun.

Rumah itu didiami seorang warga emas, Rokiah Awang, 65, yang tinggal bersama tiga anak, dua menantu dan lima cucunya yang masih bersekolah.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, rumah yang mempunyai tiga bilik tersebut berkongsi tempat berlindung dengan lima ekor kambing biri-biri yang menjadi sebahagian pendapatan kepada penghuni rumah tersebut termasuk ternakan 11 ekor itik penelur di belakang kediaman usang itu.

Rokiah yang juga ibu tunggal berkata, rumah yang didirikan atas tanah pusaka itu dibina arwah suaminya, Hasan Ahmad menggunakan kayu-kayu daripada rumah lain yang berhampiran.

Iklan

"Lantai sering jerlus, dinding dimakan anai-anai dan berlubang, manakala bumbung pula banyak bocor. Untuk baiki kami hanya ada wang sekadar boleh makan dan minum, selebihnya saya reda dengan apa keadaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Bemban, Mahligai di sini pada Selasa.

Rokiah berkata, atas desakan kewangan juga, mereka terpaksa berhimpit mendiami rumah tersebut dengan hanya dua ahli keluarganya yang bekerja iaitu anak bongsunya, Mohd Shahrudin Hasan, 38, menjadi pembantu tukang rumah dan menantunya, Wan Afendi Muda, 50, bekerja sebagai buruh kampung.

Iklan
Rokiah bersama anak-anak menunjukkan keadaan dapur rumah mereka yang usang dan dipenuhi plastik di Kampung Padang Bemban. - Foto Bernama

"Kami sekeluarga turut bergantung harap dan bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebanyak RM400 sebulan.

"Paling penting kami sangat memerlukan rumah baharu memandangkan tempat ini tidak sesuai untuk bilangan penghuni yang ramai, juga keadaannya yang usang dan mungkin boleh runtuh bila-bila masa," luahnya.

Bagi memastikan keadaan rumahnya selamat, Rokiah berkata anak-anaknya menambun tanah di belakang rumah tersebut sementara ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Pegawai JKM Bachok, Zulfikri Ab Wahab, Pengawai Psikologi JKM Bachok, Irmawati Mohd Sakri dan Penggerak Komuniti Negara (PKN) Bachok, Mohd Zanuri Abdullah turut menziarahi Rokiah dan keluarganya.

Dalam ziarah itu, Zulfikri berkata, JKM Bachok telah memberikan Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM850 untuk lima cucu Rokiah yang tinggal di rumah tersebut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank BSN 0300941000099916 atas nama Rokiah Awang atau boleh menghubungi Wan Afendi di talian 0139792497. - Bernama