KECINTAAN terhadap isu-isu yang membelenggu dan menjadi penghalang kepada wanita untuk terlibat secara lebih aktif dan bermakna dalam proses pembangunan negara, melonjakkan minat saya untuk mendalami bidang pengajian wanita.
Hasil penyelidikan dan penemuan yang tulen dalam bidang berkenaan, saya telah dianugerahkan doktor falsafah. Saya menggunakan sepenuhnya kepakaran ini dalam usaha memperkasakan wanita semasa saya bertugas, khususnya di Kementerian Pembangunan Wanita dan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, New York.
Kini saya telah bersara dan tidak berhasrat untuk bergiat aktif lagi, namun semangat juang untuk terus memperkasa wanita tetap mengalir dan melingkari jiwa saya.
Menjelang hari wanita pada 8 Mac tahun ini, maka nostalgia meraikan hari keramat untuk memberi pengikrafan kepada wanita mengenai pentingnya sumbangan mereka kepada pembangunan negara timbul kembali.
Paling bersejarah pada ingatan saya adalah sambutan pada 25 Ogos 2007 di Stadium Bukit Jalil. Bertemakan"Wanita Nadi Negara” lebih 30,000 orang wanita hadir membanjiri majlis gilang gemilang anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di bawah pimpinan Menterinya pada masa itu, yang juga pengasas kepada penubuhan KPWKM, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Kembara Perjuangan
Kembara perjuangan memertabatkan status wanita di seluruh dunia melalui jalan yang sukar dan berliku. Suruhanjaya Mengenai Status Wanita yang ditubuhkan pada tahun 1946 merupakan badan utama yang menggerakkan agenda pemerkasaan wanita melalui mesyuarat tahunan yang diwakili oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia.
Persidangan wanita peringkat dunia anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Mexico City (1975), Copanhagen (1980), Nairobi (1985) dan Beijing (1995), beserta pengumuman Tahun Wanita Antarabangsa (1975), Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) (1980), dan Dekad Wanita (1975-1985) telah mencerna pelbagai deklarasi dan resolusi, kerangka kerja, pelan tindakan serta strategi bertujuan mengubah kedudukan wanita ke tahap yang lebih baik.
Di sebalik pelbagai usaha yang diambil, tidak banyak perubahan dan kejayaan yang dicapai oleh wanita.
Penilaian ke atas status wanita dari seluruh negara di dunia yang dilaporkan di Persidangan Beijing pada tahun 1995 menunjukkan bahawa "the status of women has advanced in some important respects in the past decades, but the progress has been uneven, inequalities between women and men have persisted and major obstacles remain, with serious consequences for the well-being of all people” (Deklarasi Beijing, Para 5).
Menerima hakikat ini maka Pelan Bertindak dan Deklarasi Beijing 1995 yang digubal oleh ribuan peserta yang hadir di persidangan keramat itu mengangkat kembali agenda pemerkasaan wanita.
Ia menjadi panduan dan rujukan utama yang meniup semangat dan menggelorakan aspirasi kerajaan dan aktivis untuk membasmi sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita.
Kerajaan dan para pemimpin seluruh dunia digesa untuk berusaha lebih keras bagi memastikan wanita terlibat secara saksama dalam bidang pilihan mereka dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negara.
Melalui Deklarasi Beijing juga, pemimpin seluruh dunia berazam dan berjanji untuk berusaha bagi mencapai matlamat kesaksamaan, pembangunan dan keamanan untuk wanita.
Mereka yakin bahawa"women’s empowerment and their full participation on the basis of equality in all spheres of society, including participation in the decision-making process and access to power, are fundamental for the achievement of equality, development and peace”. (Deklarasi Beijing, para 13).
Ketua-ketua kerajaan komited untuk mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi memperkasa wanita dan menghapuskan segala bentuk diskriminasi yang menghalang penglibatan aktif mereka dalam semua bidang kehidupan.
Kemiskinan dalam kalangan wanita mesti dihapuskan, pendidikan dan latihan disediakan, kesihatan mereka mesti diberi tumpuan, penglibatan dalam bidang kepimpinan, ekonomi, media, alam sekitar ditingkatkan dan mereka mesti dilindungi dari sebarang bentuk keganasan.
Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha ini, malah memainkan peranan secara aktif baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.
Setiap tahun, Malaysia tidak pernah gagal menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Mengenai Status Wanita, menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, serta mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan status mereka.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan pada tahun 2001. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat dengan memasukkan perkataan gender bagi menentukan dasar kerajaan tidak mendiskriminasi wanita berasaskan gender.
Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita digubal dan dikemaskini dari masa ke semasa. Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga ditubuhkan di setiap negeri.
Program mengarusperdanakan gender dan kesedaran gender dilaksanakan secara menyeluruh. Galakan dan insentif keusahawanan diberikan. Amalan kerja anjal termasuk office@home, parenting@work, tadika di tempat kerja dan program menghapuskan kemiskinan dalam kalangan wanita seperti Amanah Ikhtiar, I-KEW, I-KIT, Jejari Bestari dan kemudahan pinjaman bank diperkenalkan.
Dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita terlibat dalam bidang pembuat keputusan diterima pakai. Pelajar perempuan digalakkan untuk memilih bidang sains dan teknologi serta bidang yang bukan tradisional untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan dan menyahut cabaran perubahan.
Akta Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita diluluskan oleh Parlimen. Pusat Krisis Sehenti di hospital dan pusat-pusat perlindungan ditubuhkan.
Program literasi undang-undang, perkhidmatan kaunseling, kursus sebelum perkahwinan dan kempen hentikan keganasan terhadap wanita dilaksanakan. Banyak kejayaan yang dicapai, tetapi banyak lagi yang perlu diusahakan.
Kajian dan penilaian di seluruh dunia yang dibuat selepas 25 tahun Beijing mendengar janji dan azam para pemimpin untuk mengubah nasib dan status wanita, The World’s Women 2020: Trends and Statistics melaporkan bahawa:
• Kurang dari 50 peratus wanita dalam umur bekerja berada di pasaran buruh;
• Hanya 28 peratus daripada jawatan pengurus disandang oleh wanita pada tahun 2019, hampir sama dengan peratus pada tahun 1995;
• Perwakilan wanita di Parlimen semakin meningkat tetapi tidak sampai 25 peratus kerusi Parlimen pada tahun 2020;
• Dalam kalangan jemaah menteri, wanita adalah empat kali ganda tetapi kekal di bawah 22 peratus;
• Bilangan wanita melebihi lelaki dalam bidang pendidikan tertiari, tetapi bilangan wanita masih rendah dalam bidang STEM, iaitu lebih kurang 35 peratus daripada penerima ijazah STEM;
• Bilangan wanita juga masih rendah dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains, iaitu kurang dari 1/3 penyelidik dunia;
• Akibat Covid-19, ramai wanita dan gadis terdedah dengan risiko keganasan. Lebih kurang 1/3 daripada wanita dunia mengalami keganasan seksual dan fizikal;
• Dalam kes yang lebih buruk, dianggarkan 137 orang wanita di seluruh dunia telah dibunuh oleh pasangan terdekat atau ahli keluarga mereka setiap hari; dan
• Lebih 70 peratus wanita merupakan pekerja sektor kesihatan yang menanggung risiko jangkitan yang tinggi.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres melaporkan bahawa "the progress towards equal power and equal rights for women remains elusive. No country has achieved gender equality and the Covid-19 crisis threatens to erode the limited gains that have been made”.
Berdasarkan kepada hasil penilaian dan kenyataan di atas, maka tidak hairanlah jika tema Sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa 2021 adalah "Choose to Challenge”.
Ia membawa makna yang luas dan bererti kepada perjuangan memperkasakan wanita yang sudah sekian lama dirintis oleh pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan dan wanita seluruh dunia.
Sejarah memaparkan bahawa berdekad lamanya "choose to challenge” melatarbelakangi pergerakan dan perjuangan wanita. Wanita memilih untuk mencabar dan melawan struktur sosial yang tempang yang terhasil dari tradisi dan ketidakadilan budaya dan doktrin gender yang mengekang dan menghalang kemajuan mereka dalam pelbagai bidang.
Wanita mencabar untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki, sentiasa bersedia untuk mempelajari bidang baharu dan memperkasakan diri dan minda mereka agar mereka dapat menjadi agen kepada perubahan dan pembangunan.
Pandemik Covid-19 dan Wanita
Tahun ini seluruh dunia masih lagi menghadapi cabaran Covid-19. Pandemik ini bukanlah satu krisis kesihatan dan fenomena wabak penyakit semata-mata, tetapi adalah satu malapetaka yang membawa bersamanya risiko yang begitu disruptif terhadap ekonomi, sosial, keselamatan kemanusiaan, keadilan dan perlindungan hak-hak manusia sejagat.
Ledakan Covid-19 telah melanda berjuta penduduk dunia dengan rebakan yang begitu pantas. Ia tidak mengenal sesiapa dan terus mengancam nyawa dan membawa kesengsaraan yang tidak terucap kepada mangsanya. Paling ketara kesannya adalah terhadap wanita, kanak-kanak, orang tua-tua dan orang kurang upaya.
Laporan dari"United Nations Policy Brief: The Impact of Covid-19 on Women 2020”, menyatakan bahawa:
"With the spread of the Covid-19 pandemic, even the limited gains made in the past decades are at risk of being rolled back. The pandemic is deepening pre-existing inequalities, exposing vulnerabilities in social, political and economic systems which are in turn amplifying the impacts of the pandemic. Across every sphere, from health to the economy, security to social protection, the impacts of Covid-19 are exacerbated for women and girls simply by virtue of their sex”.
Respon dan Pemulihan Impak Covid-19
Pilihan kita adalah untuk bangkit menghadapi cabaran ini. Kerajaan melalui Kementerian dan agensi yang bertanggungjawab perlulah mengambil langkah yang bersepadu, inovatif, komprehensif dan inklusif.
Pandangan dan suara yang diutarakan oleh wanita serta pelbagai pihak lain harus diambil kira. Kolaboratif strategik dan kerjasama dengan agensi-agensi serta pihak NGO perlu diadakan bagi meningkatkan keberkesanan dan penjimatan perbelajaan.
Di sini suka saya menyarankan beberapa inisiatif yang boleh diambil;
• Pertamanya adalah inisiatif segera yang boleh dilaksanakan melalui misi kemanusiaan. Dalam keadaan sukar, wanita perlu mendapat pertolongan dalam bentuk bekalan makanan dan kemudahan asas. Kita mesti mengenal pasti dan menyantuni mereka dengan segera.
Langkah ini telahpun diambil oleh pelbagai pihak tetapi ia mesti diteruskan bagi menyelamatkan nyawa, menjaga kesihatan dan memberi perlindungan. Mereka yang mendapat manfaat dari program ini ialah yang terdiri dari golongan yang berisiko tinggi, daif dan memerlukan.
• Kedua ialah program bantuan kewangan kepada wanita yang berkecimpung dalam perniagaan kecil-kecilan dan sederhana. Bantuan ini akan membina kembali perniagaan mereka yang telah merudum.
• Ketiga adalah program sambung dan hubung bertujuan membantu kumpulan yang memerlukan akses kepada internet, informasi dan berita semasa. Akses kepada internet dan peralatan seperti komputer riba amat diperlukan untuk pelajar dan untuk wanita itu sendiri dalam menjalankan perniagaan dalam talian.
• Keempat ialah program sayangi dan lindungi bagi menjaga wanita dan gadis atau kanak-kanak perempuan yang terdedah kepada keganasan, termasuk keganasan rumah tangga. Program kesihatan mental dan pembinaan daya tahan diri juga perlu dijalankan.
• Kelima adalah program aplikasi digital yang perlu dibina oleh agensi yang bertanggungjawab untuk membantu wanita bekerja dalam talian dan menjana pendapatan.
MDEC pernah memperkenalkan aplikasi ini yang dinamakan eRezeki. Aplikasi dan kaedah ini berjaya membantu kumpulan B40 menjana pendapatan dan boleh direplikasikan.
Perancangan pemulihan pula perlu dibuat dengan teliti bertujuan membina inisiatif jangka panjang. Ia lebih memberi tumpuan kepada pembangunan dasar, kerangka kerja, strategi dan pelan tindakan. Konsultansi dengan pihak berkepentingan, NGO dan pemimpin komuniti perlu diadakan.
Pembangunan data secara gender disaggregated amat diperlukan untuk membantu membentuk program yang tepat dan berkesan kepada kumpulan sasar. Kisah-kisah kejayaan yang dicapai oleh negara-negara seluruh dunia dalam menangani kesan Covid- 19 ini boleh dijadikan model kepada usaha kita melaksanakannya di Malaysia.
Sejarah perjuangan wanita perlu dihayati dan difahami lebih-lebih lagi bagi generasi yang tidak terlibat secara terus dalam usaha ini. Kesedaran gender melalui program mengarusperdanakan gender perlu diteruskan untuk mengubah minda, budaya, persepsi dan amalan negatif masyarakat kita agar wanita yang merupakan hampir 50 peratus aset negara yang begitu berharga dapat digunakan dengan sepenuhnya.Krisis Covid-19 adalah satu"moment of truth” yang mengajar kita untuk meneruskan agenda pemerkasaan wanita. Bersama kita bangkit untuk menghadapi krisis ini secara bersepadu dan bersatu. Hanya dengan kaedah ini kita akan berjaya membina daya kekuatan dan meningkatkan semangat juang untuk terus membangun kembali negara kita dengan lebih cemerlang.