BATU PAHAT - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang Sabtu lepas, ditemukan selamat di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Paloh, Yong Peng, dekat sini, petang Selasa.
Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Othman Mohd Baher berkata, Low Teck Moh, 57, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan penyelamat pada jam 3.28 petang kira-kira dua kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang.
Iklan
Iklan
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, lelaki itu dihantar ke Klinik Kesihatan Yong Peng dengan menggunakan ambulans dan operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan Ahad lepas, ditamatkan pada jam 4.54 petang.
Operasi dibantu anggota bomba dari balai Kluang, Renggam, Penggaram, Batu Pahat, Rengit dan Ayer Hitam, selain Unit Pengesan K9 JBPM, anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan sebelum lelaki itu ditemukan.
Bomba menerima panggilan mengenai kehilangan lelaki pekak dan bisu itu di sebuah ladang kelapa sawit seluas 16 hektar pada Ahad lepas. - Bernama