PPM rampas pelbagai jenama minuman keras seludup

Iklan

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang merampas 3,888 tin dan 72 botol minuman keras import tidak dibayar cukai dalam serbuan di sebuah gudang tidak beralamat di Pandamaran, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal berkata, serbuan gudang pada jam 6 petang itu adalah hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori yang sedang membawa minuman keras di sekitar Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori itu mendapati ia membawa minuman keras import tidak dibayar cukai dan dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah berkenaan dari lokasi lain.

"Hasil siasatan lanjut, pemandu lori lelaki warga India itu kemudiannya memberitahu lokasi gudang penyimpanan minuman keras import tidak bercukai tersebut dan ketika serbuan dilakukan, terdapat dua lagi lelaki warganegara sama yang bekerja sebagai penjaga stor sedang memunggah minuman ke dalam sebuah lagi lori.

Iklan

"Modus operandi kumpulan lelaki warga asing ini pun mudah. Mereka sendiri mencari stok (minuman keras import) dan mereka juga yang menjualnya kepada pembeli. Ada pembeli, baru mereka mencari stok,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, jenama minuman keras import tidak bercukai itu juga didapati jarang berada dalam pasaran tempatan dan ia disyaki diseludup untuk dijual secara haram di sekitar daerah berkenaan sejak minggu lepas.

Iklan

Beliau berkata, kesemua minuman keras import seludup itu dianggarkan bernilai cukai RM47,387 dan pihaknya turut merampas dua buah lori yang digunakan warga asing terbabit untuk mengangkut barangan berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga lelaki berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu didapati mempunyai pasport yang sah namun ditahan untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, pemilik gudang tidak beralamat itu juga sedang dikenal pasti dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan kastam. - Bernama