SEMUA pihak diminta bersabar dan tidak memberikan tekanan kepada penyerang Perak FC yang juga pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya, Guilherme De Paula untuk menampilkan prestasi terbaiknya.
Para peminat dan penyokong bola sepak negara mula mengkritik de Paula selepas gagal menampilkan impak bersama Perak FC dalam aksi pertama Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.
Situasi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaturalisasikan pemain berusia 34 tahun itu sebagai langkah tepat untuk menerajui jentera serangan Harimau Malaya.
Bagi bekas pengendali pasukan kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan de Paula, apatah lagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 baru bermula.
"Soal prestasi pemain, bagi saya kita tidak boleh terlalu cepat buat penilaian. Saya bercakap atas sudut pandang saya sebagai seorang jurulatih. Banyak faktor sebenarnya mempengaruhi prestasi pemain di atas padang.
"Saya melihat rata-rata pasukan mengharungi tempoh persiapan liga kurang daripada enam minggu iaitu sekitar tiga minggu sahaja. Jadi, sudah pasti tempoh persiapan itu singkat dan akan memberikan kesan kepada pemain juga.
"Dalam masa sama, saya yakin jurulatih kebangsaan (Tan Cheng Hoe) akan mendapatkan input daripada pasukan Perak perkembangan de Paula sebelum memanggil pemain itu beraksi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun, Wan Jamak turut mengakui de Paula perlu bekerja lebih keras meningkatkan prestasi dan membuktikan keupayaan sebenarnya untuk layak beraksi dalam skuad Harimau Malaya.
"Naturalisasi ini ada bagus dan ada tidak. Bagusnya jika pemain itu betul-betul boleh bermain untuk negara. Sekarang ini dah ramai pemain naturalisasi dan kita tak tahu kedudukan sebenar dia dalam pasukan negara.
"Perlawanan kelayakan itu akan berlangsung pada bulan Jun nanti dan masih ada ruang untuk de Paula memperbaiki prestasinya. Sebelum ini, kita tahu dia adalah seorang pemain yang bagus dan diharap mampu menambah sengat dalam pasukan negara.
"Sudah tentu ramai yang akan memperhatikan prestasinya terutama penyokong bola sepak negara sebab dia sudah dinaturalisasikan dan diberikan kerakyatan. Jadi dia kena cuba sedaya upaya memperbaiki persembahannya itu,” ujarnya.