SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia pada ketika ini.
Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai sifat kepimpinan untuk memimpin negara.
"Dalam beberapa pilihan raya yang lalu, (jika dilihat) prestasi di Parlimen, luar Parlimen, bagaimana beliau menghayati isu dan berbahas, saya lihat Wan Azizah mempunyai satu kepimpinan yang diperlukan di negara kita.
"Selain Wan Azizah, saya rasa Nurul Izzah juga mempunyai bakat untuk memimpin negara kita,” katanya ketika ditanya siapa yang beliau rasakan calon yang pada ketika ini sesuai untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama.
Kasthuri berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-237 bertajuk ‘Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia: Realiti Atau Fantasi’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan penganalisis politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Kasthuri bagaimanapun berkata, pada hakikatnya negara ini masih lagi ketandusan idea baharu, progresif dan cara pemikiran segar.
"Saya rasa dengan wujudnya kepimpinan wanita dan wanita muda boleh mengambil satu langkah yang akan membawa kebaikan kepada semua masyarakat Malaysia dengan membincangkan satu senario di mana kita akan ada seorang Perdana Menteri wanita,” katanya.
Menurutnya, untuk itu, perlu adanya hujahan kepada sesetengah mereka yang berpendapat negara ini masih lagi belum bersedia untuk ke arah berkenaan.