Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) berjaya melancarkan pembukaan cawangan U.n.i Farmasi Putrajaya, kelmarin.
ProSPEC dibangunkan pada tahun 2018 bertujuan untuk meningkatkan penyertaan usahawan serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, senibina dan juruukur bahan.
Perasmian pembukaan farmasi yang dimiliki Muhammad Razif Mohamed Zin dengan modal RM560,000 turut mendapat sokongan MARA melalui Skim Pembiayaan Perniagaan yang terletak di Ayer 8, Putrajaya, disempurnakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun.
U.n.i Farmasi telah dibangunkan dengan penglibatan 10 peserta/usahawan dalam bidang farmasi yang terdiri daripada pelajar lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta (IPTA/IPTS) khususnya pelajar tajaan MARA.
Lima daripada usahawan tersebut merupakan usahawan baru (start up) manakala bakinya merupakan usahawan sedia ada yang menjenamakan semula farmasi masing-masing di bawah rangkaian dan konsep U.n.i Farmasi.
Azizah ketika ditemui berkata, ProSPEC U.n.i Farmasi yang dilancarkan pada September 2019 telah Berjaya membangunkan 10 buah farmasi dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, ProSPEC juga memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan Tinggi Mara (IPMA), IPTA, IPTS khususnya pelajar tajaan MARA untuk menceburi bidang perniagaan.
"Ini membuktikan MARA sentiasa komited dalam melahirkan Iebih ramai usahawan profesional khususnya dalam bidang kesihatan untuk memiliki farmasi sendiri.
"Peserta yang terpilih untuk menyertai program ini akan disokong dengan kemudahan pembiayaan dengan had maksima sehingga RM500,000 untuk membuka farmasi.
"Saya yakin dengan ekosistem yang lengkap, MARA akan mempelopori bidang profesional lain pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, pembukaan cawangan U.n.i Farmasi di Putrajaya itu turut disifatkan sebagai sejarah dalam usaha untuk menambah jumlah usahawan Bumiputera terlibat dalam perniagaan profesional.
"Program ini juga memberikan satu ruang baharu kepada anak-anak muda di luar sana yang belajar dalam bidang farmasi akhirnya mereka boleh menubuhkan farmasi mereka di bawah tajaan atau di bawah naungan MARA,” katanya.
Sejak memulakan operasi pada Julai 2020, U.n.i Farmasi telah mencapai nilai jualan yang memberangsangkan mencecah RM4.6 juta serta membuka sebanyak 50 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Azizah berkata, MARA mensasarkan untuk membuka lebih banyak lagi U.n.i Farmasi di seluruh negara bagi memenuhi keperluan.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, MARA menerusi program ProSPEC, berjaya membangunkan 35 rangkaian U.n.i Klinik dengan dana pembiayaan disalurkan berjumlah RM10.8 juta.
Pembangunan konsep U.n.i Farmasi turut mendapat kerjasama daripada UniKL RCMP, Pharmaniaga dan rakan strategic lain.
MARA kini sedang giat membangunkan U.n.i Dental sebagai meneruskan usaha berterusan membangunkan usahawan dalam bidang profesional.
U.n.i Dental sedang dibangunkan
Dalam perkembangan lain, MARA sedang memperluaskan jaringan program di bawah ProSPEC dengan pembangunan usahawan dalam bidang pergigian menggunakan jenama U.n.i Dental iaitu konsep yang sama seperti klinik dan farmasi.
U.n.i Dental dibangunkan bagi meningkat penglibatan usahawan Bumiputera dalam bidang perubatan pergigian.
Setakat tahun 2018, terdapat sebanyak 2,303 klinik pergigian berlesen di Malaysia dan hanya 26% (596 klinik pergigian) bertaraf Bumiputera, manakala 74% (1,707 klinik pergigian) bertaraf bukan Bumiputera.
MARA menyasarkan seramai 20 peserta bagi mengikuti ProSPEC dalam bidang pergigian dengan kelayakan minimum yang telah ditetapkan dan 10 peserta terbaik akan dibiayai di mana proses pemilihan sedang berlangsung dan beberapa siri webinar telah dilaksanakan bagi menarik minat mereka yang berkelayakan dalam bidang berkenaan.
Mereka yang terpilih akan mengikuti latihan keusahawanan berstruktur yang merangkumi pengurusan perniagaan, operasi syarikat dan pendedahan kepada industri.
Mereka juga akan disokong dengan skim kemudahan pembiayaan bagi memastikan pewujudan outlet mengikut konsep dapat direalisasikan.
Klinik pergigian di bawah jenama U.n.i Dental dijangka memulakan operasi pada awal tahun 2022. Untuk maklumat lanjut berkenaan Program U.n.i Dental, sila layari; https://www.mara.gov.my/bm/menu_ keusahawanan/.