KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mempunyai lesen perniagaan yang sah namun menyalahgunakan premis dengan menawarkan aktiviti pelacuran.
Perkara itu terbongkar selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) menyerbu sebuah hotel di Jalan Manis, Taman Segar, Cheras di sini pada lewat petang Selasa.
Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan berkata, serbuan menerusi 'Operasi Tindakan Khas Terhadap Hotel Yang Menawarkan Aktiviti Pelacuran' dilaksanakan selepas menerima maklumat daripada orang ramai.
"DBKL membuat risikan awal terlebih dahulu dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam premis hotel tiga tingkat mempunyai 19 buah bilik yang dijadikan tempat urut serta aktiviti seks.
"Hasil semakan mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang sah daripada DBKL tetapi telah menyalahgunakannya," kata kenyataan tersebut pada Rabu.
Menurut kenyatan itu, hasil serbuan mendapati seramai enam wanita warga Vietnam bekerja sebagai tukang urut disyaki terlibat sebagai pekerja seks.
Katanya, seorang warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL.
"Satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan menerusi Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 dikeluarkan dan tindakan sita diambil ke atas 50 peralatan premis termasuk kondom, minyak pelincir dan lain-lain.
"Tindakan ini dilakukan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003 mengikut bidang kuasa serta prosedur operasi standard DBKL," katanya.
Menurut kenyataan itu, operasi dan kerjasama awam terbabit akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Kerjasama daripada warga kota untuk terus menyalurkan sebarang aduan dan maklumat adalah amat dialu-alukan dan boleh menyalurkannya kepada pihak DBKL secara dalam talian di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.