ALOR SETAR - Pemburuan menjadi penjaring terbanyak Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak menjadi keutamaan sebaliknya meraih tiga mata pada setiap perlawanan buat kelab adalah lebih penting di Liga Malaysia 2021, kata Kpah Sherman.
Penyerang Hijau Kuning itu berkata, dia tidak melihat kehadiran gandingannya, Kipre Tchetche sebagai saingan dalam memburu rekod gol peribadi sebaliknya mereka saling melengkapi dalam mempertajamkan lagi serangan KDA FC.
Menurutnya, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan kedua Liga Super 2021 mengatasi Sabah FC di Stadium Darul Aman pada Selasa menjadi bukti kerjasama mereka berjaya membantu kelab meraih tiga mata pertama pada musim ini.
"Pada perlawanan ini, kita dapat lihat kami bekerjasama untuk menjaringkan gol dengan melihat siapa yang berada pada posisi terbaik untuk melakukannya kerana keutamaan kami adalah bekerjasama sebagai satu pasukan.
"Gol pertama dijaringkan Kipre hasil hantaran saya manakala gol kedua yang dihasilkan oleh saya pula adalah hasil hantaran oleh Kipre," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Selasa.
Kpah berkata, momentum dan keserasian semua pemain juga termasuk pemain baharu semakin baik walaupun menjalani persiapan yang agak singkat sebelum ini.
Menurutnya, penting buat Hijau Kuning meraih kemenangan pertama pada musim ini terutamanya beraksi di gelanggang mereka sendiri.
"Saya lihat sudah ada peningkatan yang lebih baik pada perlawanan menentang Sabah FC berbanding perlawanan pertama apabila tewas kepada JDT 2-0. Sebelum ini kami bersama dan menghadapi beberapa perlawanan agak singkat," katanya.
KDA FC selepas ini akan berkunjung ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Jumaat untuk bertemu Penang FC bagi aksi ketiga Liga Super.