MOM masih rangka cadangan skim pencen atlet Olimpik

Iklan
Norza

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) masih lagi dalam proses merangka struktur kepada cadangan skim pencen kepada bekas atlet yang pernah beraksi pada temasya Sukan Olimpik.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berkaitan proses perundangan cadangan yang telah diutarakan tahun lepas itu.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, perbincangan juga diadakan bagi memanjangkan skim itu juga kepada atlet yang telah beraksi dan berjaya pada peringkat antarabangsa yang lebih tinggi, namun sukan itu tidak tersenarai dalam sukan Olimpik.

"Jadi saya rasa ia lebih luas dan menyeluruh... kami juga menunggu tindakan daripada KBS dan MSN untuk membawa perkara ini ke peringkat tertinggi secepat mungkin.

Iklan

"Pada awalnya dicadangkan untuk atlet beraksi di Olimpik sahaja tetapi sekarang, dengan bantuan MSN (kami) memanjangkannya kepada atlet lain, yang akan dimaklumkan kemudian.

"Baru-baru ini saya juga minta untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) dan (sumbangan) Perkeso untuk atlet pada mesyuarat Lembaga MSN.

Iklan

"Ia telah diterima dengan positif oleh Menteri (KBS) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM pada Selasa.

November lepas, media melaporkan yang MOM telah mencadangkan skim pencen itu untuk dimasukkan di bawah Belanjawan 2021 bagi mengurangkan beban atlet kebangsaan yang telah banyak berkorban demi kejayaan negara di Sukan Olimpik dan pertandingan yang setaraf dengannya, seperti Kejuaraan Dunia.

Sebulan kemudian, Reezal Merican memaklumkan kepada Dewan Rakyat yang kementerian itu sedang berbincang mengenai skim pencen itu, bersama organisasi sukan dan cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.

Pada masa ini, hanya pemenang pingat Olimpik sahaja layak untuk menerima pencen.

Sementara itu Mohamad Norza berkata, cadangan skim pencen itu merupakan sebahagian daripada usaha MOM, untuk mengalakkan generasi masa hadapan menjadikan altet sebagai karier mereka, yang boleh menyediakan jaminan masa hadapan.

"Yang paling penting ialah menjadi sukan atau menjadi seorang atlet sebagai pilihan kerjaya. Ini kerana ramai atlet berpotensi mengubah fikiran mereka mengenai perkara itu, kerana tiada jaminan mengenai masa hadapan.

"Saya rasakan dengan melaksanakan skim ini ialah untuk memberikan jaminan kepada atlet kita jika mereka berhadapan dengan ketidakpastian, seperti pandemik COVID-19. Kami sedang berusaha keras... kami rasa MSN akan jadikannya sebagai satu keutamaan,” katanya. - Bernama