PENGURUS Borussia Dortmund, Edin Terzic ternyata gembira dengan sumbangan penyerangnya Erling Haaland selepas pemain Norway itu membawa pasukannya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menyingkirkan Sevilla.
Menurutnya, dua jaringan Haaland pada aksi timbal balik 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan Dortmund berada dalam kedudukan lapan pasukan terbaik.
"Ia sesuatu yang menakjubkan apabila melangkah ke suku akhir. Kami tidak meletakkan harapan tinggi untuk mara tetapi kecemerlangan Haaland telah membantu pasukan.
"Dia selalu menjadi penyelamat pasukan dan kerap melakukannya. Ini merupakan pemain yang hebat dan bernafsu untuk menang.
"Apa pun bola sepak ialah permainan berpasukan. Para pemain telah memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut,” katanya.
Dortmund mengatasi Sevilla menerusi agregat 5-4 pada aksi timbal balik yang menyaksikan Haaland muncul wira pasukan itu dengan menjaringkan dua gol masing-masing pada minit 35 dan 54.
Dalam pada itu pengendali Sevilla, Julen Lopetegui mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut tetapi anak buahnya wajar berbangga dengan usaha mereka.
"Kami berjaya memastikan pasukan hebat seperti Dortmund sukar untuk bermain dengan baik tetapi mereka mempunyai pemain-pemain berkualiti yang mampu menggerakkan serangan pasukan.
"Jika ditanya tentang Haaland, dia salah seorang pemain terbaik pada masa sekarang dan telah menghukum kami,” katanya.