KUALA LUMPUR - Pas membidas tindakan Pejabat Peguam Negara menarik semula pendakwaan terhadap Siti Kasim kerana menunjukkan jari tengah dalam sebuah forum di Shah Alam pada tiga tahun lepas.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, rakyat mahu mengetahui penjelasan munasabah bagaimana kes seumpama itu boleh digugurkan.
"Walhal, sekurang-kurangnya terdapat tiga kes seumpama itu yang dilakukan orang awam telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Ketiga-tiga mereka telah dihukum penjara dan denda atas kesalahan berikut.
"Namun, kes Siti Kasim yang menunjukkan jari tengah kepada peserta forum serta videonya telah ditularkan dalam media sosial langsung tidak dibicarakan di mahkamah mahupun didakwa Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengguguran kes tersebut menyebabkan timbul persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap Pejabat Peguam Negara.
"Rakyat berpendapat Peguam Negara bersikap selektif atas kes berkenaan ekoran wujud hubungan personal (peribadi) antara kedua-duanya,” ujarnya.
Dua hari lepas, Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan untuk mendakwa peguam, Siti Kasim seperti diberitahu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
Menurut beliau, kertas siasatan berhubung Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim telah dipanggil semula Jabatan Peguam Negara.