186 pengamal perubatan swasta diberi kuasa kendali kes Covid-19

Iklan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 186 pengamal perubatan swasta diberikan kuasa di bawah Seksyen 10 (2) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi mengendalikan kes positif Covid-19 berkuat kuasa pada Khamis, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, kesemua mereka berkuasa mengeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 serta arahan pemakaian gelang kuarantin.

Iklan
Iklan

"Pengamal perubatan swasta ini dibenar mengendalikan kes positif Covid-19 di tempat mereka bekerja sama ada di klinik atau hospital swasta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘The Covid-19 Chronicles of Malaysia | Navigating the Storm’, di sini pada Rabu.

Mengenai pecahan pengamal perubatan swasta terbabit mengikut negeri, Dr Adham berkata, Selangor mempunyai jumlah tertinggi iaitu 66, diikuti Kuala Lumpur (43), Johor (26), Pulau Pinang (16) dan Negeri Sembilan (13).

Iklan

Selebihnya adalah masing-masing empat di Melaka dan Perlis, Perak dan Terengganu masing-masing tiga, Pahang, Kelantan dan Sabah masing-masing dua, manakala Kedah dan Putrajaya masing-masing satu.

Dr Adham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah diberi tanggungjawab menyediakan garis panduan kepada pengamal perubatan swasta terbabit.

Iklan

Mengenai proses vaksinasi bagi barisan hadapan, Dr Adham berkata, sasaran 60 peratus daripada 500,000 petugas barisan hadapan mendapat suntikan vaksin Covid-19 dijangka dicapai minggu ini.

Sehingga kini, katanya, seramai 195,923 individu telah mendapat suntikan.

Seramai 4.68 juta rakyat negara ini telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, Dr Adham berkata, penubuhan Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan berkaitan kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan Jumaat ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan perkara itu untuk dibincangkan dari pelbagai aspek di peringkat Jemaah Menteri sebelum dilaksanakan.

Sehingga kini, katanya tiada sebarang laporan berkaitan kesan sampingan diterima daripada penerima suntikan vaksin Covid-19.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan untuk mewujudkan skim perlindungan bertujuan memberi pampasan kepada penerima vaksin Covid-19, sekiranya ada antara mereka mendapat kesan sampingan yang serius daripada vaksin itu. - Bernama