KUANTAN - Kerajaan Pahang bercadang membeli sendiri 10,000 dos vaksin Covid-19 sebagai tambahan kepada vaksin yang diperuntukkan oleh kerajaan Pusat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu kerajaan Pahang memperuntukkan RM2 juta jika permohonan tersebut diluluskan kerajaan Pusat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, permohonan vaksin tambahan itu untuk diberikan kepada golongan tercicir iaitu tidak berdaftar dan tiada akses aplikasi Mysejahtera.
"Kita telah kemukakan pandangan ini (beli dos vaksin) kepada kerajaan Pusat. Kalau kerajaan Pusat benarkan kita akan beli dan jika tidak dibenarkan, kita terima vaksin seperti diaturkan," katanya dalam sidang akhbar selepas penyampaian replika cek Program Bantuan Awal Pendidikan 2021 di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, Pahang akan menerima 64,350 dos suntikan bagi fasa pertama untuk 32,175 pasukan barisan hadapan.
Katanya, fasa kedua dijangka bermula pada April ini dengan memberi keutamaan kepada rakyat Pahang berusia 60 tahun ke atas.
"Untuk fasa kedua ini kita akan beri kepada penghuni rumah orang tua dan individu yang ada penyakit kronik," katanya