SELAYANG - Aplikasi perkahwinan, WeddingMate yang dilancarkan pada Julai tahun lalu dan mengumpulkan lebih 7,000 vendor perkahwinan bertujuan membantu menghubungkan pasangan yang ingin berkahwin dengan vendor perkahwinan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WeddingMate, Mohd Shukri Adha berkata, platform yang pertama dilancarkan di Malaysia itu bertujuan mendigitalisasikan perancangan perkahwinan dengan menyediakan direktori vendor perkahwinan.
Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu menyebabkan industri perkahwinan terkesan teruk disebabkan larangan mengadakan majlis perkahwinan.
"Aplikasi WeddingMate ini dilancarkan bagi membantu dan menceriakan semula industri perkahwinan ketika Covid-19, PKP dan seterusnya.
"Diharapkan platform kami dapat memberi peluang kepada semua vendor mempromosi perkhidmatan atau harga ditawarkan kepada pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Mohd Shukri berkata, aplikasi berkenaan diibaratkan sebagai pusat sehenti menghimpunkan pemilik perniagaan kecil dari rumah sehingga ke hotel yang bertaraf lima bintang.
Katanya, pasangan bakal berkahwin boleh membuat pilihan perancang perkahwinan dengan hanya memuat turun aplikasi tersebut di Apple AppStore dan Google PlayStore.
"Saya sarankan semua vendor perkahwinan untuk menyertai WeddingMate supaya dapat menyesuaikan diri dengan aliran aplikasi terkini.
"Saya harap platform ini bukan sahaja menjadi direktori dan tempat mempromosi perkahwinan, tetapi pada masa sama memberi impak atau nafas baharu dalam industri perkahwinan di Malaysia mahupun di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Sebelum itu, beliau berkata, menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia, lebih 200,000 pasangan berkahwin di seluruh negara setiap tahun.
Katanya, ia membuktikan industri perkahwinan adalah pasaran besar dengan nilai pendapatan lebih RM10 bilion setahun.
"Aplikasi ini dilancar tepat pada masanya dalam kerancakan era ekonomi digital di seluruh dunia.
"Saya melihat ia sebagai peluang untuk kami memanfaatkan pasaran aplikasi, khususnya industri perkahwinan di Malaysia,” katanya.