Tahanan ditemui mati dalam lokap

Iklan
Seorang lelaki ditemui tergantung di jeriji besi pintu sel lokap Balai Polis Cheras pada Isnin. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR - Seorang tahanan lelaki ditemui tergantung di jeriji besi pintu sel lokap Balai Polis Cheras pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian itu disedari petugas di lokap berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Petugas itu mendapati lelaki berusia 54 tahun tergantung di jeriji besi pintu sel lokap menggunakan baju tahanan yang dibekalkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamed Mokhsein berkata, kejadian itu disedari petugas lokap ketika proses membawa keluar tahanan lain di sel lokap bersebelahan untuk proses siasatan kes lain.

Iklan

"Ketika kejadian, lelaki itu berada di sel lokap berseorangan kerana tahanan lain yang ditempatkan dalam sel sama sudah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan," katanya.

Menurutnya, pemandu teksi itu ditahan pada 4 Mac lalu kerana kesalahan dadah mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki itu juga mempunyai empat rekod jenayah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971. Dia direman selama tujuh hari dan berakhir hari ini," katanya.

Mohamed Mokhsein berkata, Koroner Mahkamah Jalan Duta dan pakar patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) telah datang ke lokap berkenaan bagi menjalankan siasatan pada petang hari yang sama.

"Bedah siasat dijalankan di HCTM pada Selasa dan kes diklasifikasi kematian mengejut (SDR).

"Siasatan dalaman oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) polis turut dibuat ke atas petugas lokap," katanya.